KUALA LUMPUR: Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak kedua kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi bermula 22 April ini.

Pemberian dos penggalak kedua di negeri itu juga akan diberikan kepada golongan remaja berusia 12 tahun ke atas yang mempunyai masalah imunokompromi (imunisasi lemah).

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, vaksin ini boleh didapatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), klinik kerajaan, hospital dan klinik swasta di negeri itu.

Malah Uggah juga menggesa mereka yang layak menerima dos penggalak kedua itu untuk membuat janji temu terlebih dahulu.

Uggah berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Dos Penggalak Kedua | 306,000 warga emas di Sarawak layak divaksin


Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan golongan berusia 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi untuk mendapat dos penggalak kedua.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, saranan itu adalah berdasarkan nasihat Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), selepas mereka meneliti kajian saintifik, kajian kohort, serta amalan di negara-negara lain.

Berdasarkan kajian tersebut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ia menunjukkan individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetis, berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius dan kematian dalam COVID-19.

Pada masa sama, Khairy berkata, golongan berusia 60 tahun ke atas yang tidak mempunyai komorbiditi juga boleh berbuat demikian, selepas mereka mendapat pandangan dari pengamal perubatan.

Selain itu, tambahnya, individu berusia 12 tahun ke atas, yang mempunyai imunokompromi di tahap sederhana dan teruk boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.

Beliau berkata, buat masa ini KKM menetapkan bahawa vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) merupakan vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia.