KUCHING: Sarawak memerlukan tambahan 18,814 petugas kesihatan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang terus meningkat di negeri itu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata berdasarkan rekod, nisbah doktor kepada populasi di negeri itu ketika ini ialah 1:590 berbanding nasional 1:406, sekali gus mencerminkan kekurangan berterusan doktor dan pakar perubatan di Sarawak.
“Setakat April tahun ini, sebanyak 5,738 jawatan untuk petugas kesihatan yang telah diluluskan di negeri ini masih belum diisi.
“Kerajaan mengakui kekurangan berterusan pakar perubatan di Sarawak dan sedang menanganinya menerusi pendekatan menyeluruh berasaskan sistem yang selaras dengan dasar semasa Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Wong Soon Koh (GPS-Bawang Assan) mengenai perancangan meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan bandar dan luar bandar susulan kekurangan pakar perubatan.
Michael berkata teleperubatan kini diperluaskan sebagai strategi utama untuk mengoptimumkan capaian perkhidmatan pakar, khususnya kepada pesakit di fasiliti kesihatan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata inisiatif itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan pakar secara jarak jauh sekali gus mengurangkan rujukan tidak perlu ke hospital tertiari, beban perjalanan dan tempoh menunggu.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyampaian perkhidmatan kesihatan luar bandar turut diperkukuh menerusi naik taraf klinik kesihatan, peluasan perkhidmatan bergerak seperti klinik bergerak dan doktor udara, selain pelaksanaan pengagihan tugas melibatkan pegawai perubatan serta petugas kesihatan bersekutu.
“Setakat ini, sebanyak 176 atau 65.2 peratus fasiliti penjagaan kesihatan primer di Sarawak telah didigitalkan menerusi sistem seperti sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS), manakala 94 lagi fasiliti masih dalam proses pelaksanaan,” katanya.
Michael berkata kerajaan Sarawak turut menyumbang RM10 juta bagi perolehan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pengukuhan infrastruktur untuk menyokong pendigitalan sektor kesihatan di seluruh negeri itu.
Mengenai pembangunan tenaga kerja kesihatan, beliau berkata Sarawak turut mencadangkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) diberikan kuasa lebih besar bagi mendapatkan doktor lepasan luar negara dan pakar perubatan rakyat Malaysia untuk pulang berkhidmat di negeri itu.
Menjawab soalan tambahan, Michael berkata Sarawak kini mempunyai 97 pasukan kesihatan bergerak yang meliputi 1,005 lokaliti melibatkan jumlah penduduk sebanyak 102,267 orang di kawasan luar bandar dan pedalaman.
-- BERNAMA