KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pertimbangkan untuk mewujudkan satu entiti bekalan air bersepadu bagi mengukuhkan kecekapan operasi agensi di bawahnya.

Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata, usaha itu bertepatan dengan aspirasi Sarawak untuk menyediakan fasiliti utiliti bertaraf dunia yang menjimatkan, selamat dan mampan.

“Sarawak mempunyai banyak sumber air. Lantas dengan pembangunan projek yang akan dibuat di Sarawak pada tahun-tahun akan datang, amat penting bagi kita untuk mempunyai penyelarasan dan kerjasama rapat dengan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Bengkel Kajian Pembentukan Satu Entiti dan Badan Korporat Bekalan Air Negeri di Hotel Imperial, di sini, pada Jumaat.  

Malah Julaihi menekankan kepentingan mempunyai sistem utiliti yang cekap dan berkesan kerana ia memberi pengaruh kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial sesebuah masyarakat, khasnya bagi rakyat di Bumi Kenyalang.

“Ia bagi memastikan kelestarian sumber air kita dan itulah sebabnya penting untuk mengukuhkan fungsi dan peranan SWA (Pihak Berkuasa Air Negeri) supaya dapat mengubah fungsi kawal selia dan menambah baik perkhidmatan penghantaran bekalan air,” katanya.

Beliau turut menyeru warga kementeriannya untuk melihat sistem bekalan utiliti di negara maju seperti Australia yang boleh diadaptasikan di Sarawak.

Selain itu, menurut Julaihi, masyarakat juga perlu dididik mengenai kesedaran tentang sumber air yang ada di sekitar mereka agar ia boleh diuruskan dengan baik.

“Dan sudah tentu pada masa sama, saya fikir bukan sahaja kita perlu melihat sistem pengurusan air, saya fikir kita perlu juga mendidik rakyat untuk menghargai nilai sumber air itu.

“Kita perlu mendidik mereka tentang kepentingan air dan cara terbaik untuk menguruskan sumber sedia ada untuk mereka. Jika tidak, mereka mungkin tidak menghargai kepentingan air,” katanya lagi.

Kerajaan Sarawak mensasarkan 100 peratus penempatan di negeri ini akan dibekalkan akses air dan elektrik menjelang tahun 2025.

Ia dijayakan melalui pelbagai inisiatif termasuklah Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) serta Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) selain projek utama Grid Bekalan Air, mempertingkat dan mengekalkan Sistem Bekalan Elektrik, dan juga pembangunan Rangkaian Bekalan Gas.