KUCHING:Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata negeri berhasrat untuk membekalkan gas petroleum cecair (LPG) ke Kalimantan, Indonesia selepas berjaya membekalkan tenaganya di sana.

Beliau berkata kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju dengan permintaan daripada Gabenor Kalimantan yang telah menulis meminta Sarawak membekalkan LPG dan barang makanan yang penting seperti gula dan beras ke wilayah tersebut.

"Sebenarnya sudah ada perundingan antara kami dan Konsulat Jeneral Indonesia di sini yang akan diikuti dengan mesyuarat rasmi kami dengan Gabenor Kalimantan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan LPG Petroleum Sarawak Bhd (Petros) di sini pada Rabu.

Menurut beliau, terdapat banyak silinder LPG Petronas yang telah diedarkan ke rumah-rumah di sepanjang sempadan tetapi tiada aturan formal.

Justeru, Gabenor Kalimantan telah meminta untuk menjalin kerjasama dalam pembekalan gas memasak dan barangan keperluan lain.

Mengenai harga LPG Petros, katanya ia dijual dengan harga RM26.60 bagi satu silinder 14 kg selepas mendapat subsidi yang tinggi daripada kerajaan.

Beliau berkata harga di kawasan luar bandar mungkin lebih tinggi berikutan kos pengangkutan dan kerajaan negeri akan mencari jalan untuk memastikan pengedaran LPG yang cekap ke semua rumah di negeri ini.

Terdahulu, dalam ucapan, Abang Johari berkata Sarawak memegang 60 peratus daripada rizab petroleum dan gas negara, mewajarkan alasan untuk mewujudkan Petros pada 2018 bagi memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan industri.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memberikan dua lesen kepada Petros pada awal tahun ini untuk penerokaan minyak dan gas, dan jika ini menghasilkan usaha yang berjaya, akan menyumbang pendapatan tambahan kepada dana negeri.

Sementara itu, Pengerusi Petros Tan Sri Hamid Bugo berkata dengan pelancaran LPG Petros pada Rabu, syarikat minyak dan gas milik negeri itu akan mula membekalkan LPG ke rumah, perniagaan dan industri di Sarawak pada 2021 bermula dengan Kuching dan Samarahan, dan diperluas ke seluruh negeri pada 2022.

"Kami bermula pada 1 Jan, 2020 - sebagai entiti tunggal untuk pembekalan, penjualan dan pengedaran gas asli kepada pelanggan domestik di Sarawak, dengan pemilikan dan pengendalian Bintulu and Miri Gas Distribution Systems dan Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd," katanya.

-- BERNAMA