MALAYSIA
Sarawak sasar 720 acara perniagaan, impak ekonomi bernilai RM2.06 bilion menjelang 2030

Sarawak komited untuk memperoleh 50 peratus lebih banyak acara perniagaan dan memastikan sekurang-kurangnya separuh daripadanya menghasilkan legasi yang boleh diukur menjelang 2030. - Gambar Astro AWANI
KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk memperoleh 720 acara perniagaan antara 2026 hingga 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, dengan unjuran kesan ekonomi sebanyak RM2.06 bilion, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh industri acara perniagaan yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada sektor ekonomi utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.
"Inilah sebabnya kita telah meningkatkan dana sokongan kewangan sebanyak 144 peratus sejak 2021 untuk menarik acara-acara bertaraf global dan pada masa yang sama memperkukuh keupayaan tempatan," katanya ketika berucap di majlis penyampaian Anugerah Borneo Inspires Legacy di sini, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri.Abang Johari berkata, komitmen ini turut disokong oleh kejayaan menyiapkan Pelan Tindakan Induk Impak Legasi -- sebuah pelan hala tuju yang membimbing transformasi Sarawak dalam menjadikan acara perniagaan sebagai legasi sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Beliau berkata, dengan pelaburan tambahan, Sarawak komited untuk memperoleh 50 peratus lebih banyak acara perniagaan dan memastikan sekurang-kurangnya separuh daripadanya menghasilkan legasi yang boleh diukur menjelang 2030.
Mengenai pembangunan infrastruktur, beliau berkata, kerajaan sedang melabur dalam inisiatif untuk memperkukuh kapasiti Sarawak menganjurkan acara bertaraf global seperti penubuhan AirBorneo, syarikat penerbangan milik negeri, pembesaran Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan pembinaan pusat konvensyen baharu di Miri.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Anugerah Borneo Inspires Legacy mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak untuk menempatkan dirinya bukan sahaja sebagai pesaing yang berusaha mencapai kecemerlangan dan inovasi, tetapi juga sebagai rakan kerjasama yang berganding bahu dengan rakan global.
"Apabila persaingan bertemu dengan kerjasama, kita membuka kekuatan untuk membina masa depan yang melangkaui apa yang mampu dicapai oleh kita secara bersendirian.
"Kerajaan Sarawak akan terus menyokong industri acara perniagaan dan saya menyeru sektor kerajaan di Malaysia serta di seluruh dunia untuk meneroka potensi acara perniagaan dan legasi sebagai alat strategik dalam membina masa depan yang lebih kukuh dan lebih baik," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami