Satu kes positif terbaharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Sarawak setakat ini meningkat kepada 681 kes.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes melibatkan seorang warga tempatan yang tiba di Kuching pada 2 Ogos lalu selepas pulang dari Yaman.

Terdahulu dia melalui Kaherah, Mesir dan Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2020.

"Sebaik tiba di Kuching, dia dibawa terus ke pusat kuarantin hotel untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari. Dia juga merupakan kontak rapat dan rakan pengajian kepada kes-679 di Dar Al-Mustafa, Yaman yang disahkan positif COVID-19 pada 7 Ogos 2020.

"Dia telah menjalani ujian saringan di Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2020 dan disahkan negatif serta telah menjalani saringan pertama di Kuching pada 3 Ogos 2020 dan menerusi keputusan ujian makmal pada 6 Ogos 2020, kes sekali lagi disahkan negatif.

"Namun menerusi ujian saringan kedua pada 8 Ogos 2020, dia didapati positif COVID-19 pada hari sama dan kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya.