SIBU: Kerajaan Sarawak sama sekali tidak pernah berkompromi dalam hal melibatkan kepentingan alam sekitar meskipun Bumi Kenyalang ketika ini sedang rancak menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan termasuk kegiatan pertanian yang melibatkan pembukaan kawasan hutan.

Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata walaupun dikritik pencinta alam dan beberapa negara luar bahawa kononnya mempunyai kadar penebangan hutan yang tinggi, Sarawak yang ditadbir kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengekalkan litupan hutan sebanyak 63 peratus.

"Kita (pembangunan) masih di belakang, dalam kita nak membangun kita tidak akan kompromi dari segi alam sekitar, itu penting. Sebab itu tiga tonggak iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar, yang ini perlu seimbang," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata dasar guna tanah negeri sudah jelas iaitu daripada 12.4 juta hektar hutan di Sarawak, enam juta hektar adalah untuk hutan kekal, satu juta Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) manakala empat juta hektar untuk agrikultur.

Beliau berkata daripada empat juta hektar berkenaan, dua juta hektar disasarkan untuk tanaman kelapa sawit manakala selebihnya untuk tanaman lain seperti nanas, getah, rumbia dan lada hitam sekali gus menyaksikan Sarawak sudah jelas mengenai kawasan mana yang perlu diterokai secara efisien.

"Dalam konteks itu kita sudah mempunyai satu pendekatan baik kalau dibandingkan mana-mana negara kononnya maju yang mempunyai kawasan lebih besar untuk pertanian dan litupan hutan kurang 10 peratus," katanya.

Beliau berkata jika dilihat kepada polisi penggunaan tanah negeri, Sarawak masih mempunyai ruang untuk membuka kawasan hutan bagi tujuan pertanian, namun apa yang penting pada akhirnya negeri itu tidak akan mengurangkan litupan hutan kurang daripada 57 peratus.

"Daripada 63 peratus, kita ada baki enam peratus untuk kita menanam kelapa sawit dan tanaman lain. Ini mesti difahami, takkan kita nak kata tiada lagi penebangan tetapi dalam masa sama tempat-tempat lain sudah membangun," katanya yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang.

Bukan itu sahaja, Sarawak merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah litupan hutan negara iaitu sebanyak 42 peratus atau 7.7 juta hektar daripada keseluruhan Malaysia, katanya sambil menarik perhatian terhadap komitmen negara dalam Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

"Komitmen kita kepada UNFCCC menetapkan 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai litupan hutan dengan 50 peratus daripada Sarawak manakala Semenanjung di bawah 50 peratus," katanya.

Len Talif berkata dalam usaha memulihara dan memelihara hutan, pendekatan yang digunakan kerajaan negeri sekarang ialah dengan mengurangkan penebangan pokok daripada hutan asli, selain mempertingkatkan hutan tanaman industri untuk industri perkayuan.

"Bermakna kita tidak perlukan kawasan besar untuk mengeluarkan isi padu kayu bagi industri perkayuan sekarang, inilah pendekatan kita supaya satu juta hektar yang kita hendak tanamkan dengan kayu cepat tumbuh dapat membantu membekalkan bahan mentah untuk industri perkayuan kita," katanya.

Sarawak ketika ini sedang mendahului Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menerusi program Penghijauan Malaysia dengan sejumlah 6,791,146 pokok telah ditanam sejak dilancarkan awal tahun ini dan 10.4 juta pokok berjaya ditanam tahun lepas.

Sepanjang pentadbiran GPS, Sarawak berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha perlindungan dan pemeliharaan flora dan fauna serta sumber biodiversiti seperti pengiktirafan di bawah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Konvensyen Mengenai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa dan East Asian Australasian Flyway Partnership (EAAFP).

Kerajaan negeri juga mengadakan kolaborasi dengan pelbagai organisasi dan institusi dalam dan luar negara bagi memperkasa perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar dan hidupan liar antaranya Heart of Borneo, Research for Intensified Management of Bio-Rich Areas of Sarawak (RIMBA Sarawak), Global Environment Facility (GEF) serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

-- BERNAMA