BETONG: Kabinet Sarawak bersetuju menubuhkan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya keputusan itu dicapai semasa mesyuarat kabinet negeri yang dipengerusikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis lalu.

Jelas Uggah BDDA sebelum ini dikenali sebagai Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA)  merangkumi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Layar, Bukit Saban, Krian, Kalaka, Saribas, Beting Maro, Kabong dan Lingga.

Dengan penubuhan BDDA, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion untuk digunakan bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah agensi berkenaan.

“Kami akan mengadakan makmal kedua pada Selasa di Kuching bagi menentukan keutamaan berdasarkan maklum balas di lapangan.

“Bahagian itu ketika telah menikmati rangkaian jalan raya yang hampir menyeluruh kecuali Krian serta capaian bekalan utiliti, namun cabaran utama BDDA ialah membangunkan aktiviti ekonomi untuk menjana pendapatan serta membina lebih banyak jalan ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan kursus kepimpinan dan pengurusan ketua rumah panjang dan setiausaha jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung melibatkan 33 rumah panjang di Ulu Rimbas di sini pada Ahad malam.

Uggah berharap rakyat akan bersedia untuk menerima penggunaan teknologi baharu terutama dalam sektor pertanian moden.

Menurutnya, BDDA akan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan budaya kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar agar Sarawak dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional dalam pelbagai bidang.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti ekonomi, beliau berkata BDDA mempunyai potensi besar untuk penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran selain ternakan ayam dan lain-lain.

“Sebenarnya, kami mempunyai sebuah syarikat berhampiran Spaoh yang giat meneruskan pembangunan benih betik hibrid, jagung, padi dan lain-lain.

"Buah betik masak yang dikeluarkan sekarang, misalnya, mempunyai jangka hayat hampir seminggu yang paling sesuai untuk dieksport manakala beras adalah varieti yang lebih pendek.

"Bekalan benih ini akan meningkatkan usaha kami untuk membangunkan pertanian moden di kawasan BDDA,” katanya selain mengulas mengenai peluang sektor pelancongan yang akan dieksploitasi.

Uggah mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri baru-baru ini telah meluluskan sejumlah RM16 juta untuk membina replika kubu purba milik lagenda nasionalis Iban, Rentap serta kemudahan sokongan lain di lokasi tepatnya di Bukit Sadok.

Selain itu, pihaknya sedang menunggu penyiapan Bebuling STOLport bernilai RM250 juta pada Februari 2024 untuk menghantar produk ladang dan membawa masuk pelancong dan pelawat.