KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang suapan RM2,000 supaya tidak mengambil tindakan dalam kes melibatkan pengedaran dadah, tiga tahun lepas.

Sarjan Zakaria Mohd Jasni, 40, yang bertugas di Jabatan Siasatan Narkotik PDRM daerah Kudat didakwa melakukan kesalahan itu di Fook Soon Seafood Product Sdn Bhd di Kudat pada 18 Jun 2021.

Zakaria didakwa secara rasuah cuba memperoleh untuk dirinya suatu suapan sebagai balasan untuk tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal ehwal tertuduh iaitu tidak mengambil tindakan ke atas pengedaran dadah yang dijalankan oleh seorang individu di daerah itu.

Dia dituduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara suapan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Jason Juga menetapkan 4 Mac untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin  RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan, melapor diri di pejabat SPRM berdekatan dua bulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA