Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) positif sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus sawah padi dalam kawasan pentadbirannya bakal diusahakan di bawah program estet padi menjelang tahun 2020.

Pengurus Besarnya, Datuk Fouzi Ali berkata sejak program itu dilancarkan pada 2011, 16,595 petani yang mengusahakan 30,600 hektar daripada hampir 100,000 hektar sawah dalam kawasan agensi itu menyertai program tersebut.

"Minat petani menyertai program estet padi sangat positif berikutan kecekapan pelaksanaan dan pengurusannya sehingga peserta menerima pulangan yang memuaskan mereka," katanya kepada media di sini, pada Isnin.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Projek Estet Padi dan Bantuan Azam Tani oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di perkarangan Masjid Amir Fawwar, Sungai Baru di sini.

Menurut Fouzi penghasilan padi di bawah program itu mencecah 6.5 tan metrik sehektar berbanding purata 6.1 tan metrik oleh individu.

Katanya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebagai pengurus dan pelaksana program estet padi membayar insentif awal sebanyak RM1,000 bagi satu relung atau kira-kira 0.28 hektar untuk satu musim.

PPK hanya mengambil RM70 bagi satu metrik tan hasil jualan padi dan baki selepas segala kos ditolak diberikan kepada petani, kata Fouzi.

Beliau berkata program estet padi dapat mengatasi masalah petani MADA yang kurang produktif kerana faktor usia dengan majoriti melebihi 62 tahun.

Mengenai insentif, Nurulhisham berkata petani Perlis menerima lebih RM1.1 juta melalui projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan pada hari ini sahaja 153 peserta menerima insentif sebanyak RM350,379.

Sejumlah 432 orang golongan sasar pula menerima bantuan program Azam Tani untuk melaksanakan projek-projek kecil berasaskan pertanian seperti pemprosesan makanan, jahitan, ternakan, tanaman dan perniagaan kecil, katanya.

-- BERNAMA