KUALA LUMPUR: Satu daripada lima atau 21.3 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah anemia berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, secara khususnya tiga daripada 10 atau 30 peratus wanita usia reproduktif (15 hingga 49 tahun) mengalami masalah anemia.

"Anemia adalah keadaan di mana kepekatan hemogloblin (Hb) dalam sel darah merah rendah dan boleh mengakibatkan kelahiran pra-matang selain menjejaskan perkembangan mental, fizikal serta kognitif yang seterusnya menyebabkan masalah kurang berat lahir dan terbantut.

"Kekurangan zat besi dan asid folik boleh menyebabkan masalah anemia dan kecacatan kekal dalam kalangan bayi seperti Neural Tube Defect (NTD).

"NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi semasa di dalam kandungan yang boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala yang tidak lengkap, tumbesaran otak yang terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, masalah ini seterusnya meningkatkan kos rehabilitasi dan pengurusan pesakit, mengurangkan kualiti kehidupan dan boleh menyebabkan kematian.

Justeru itu, katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik inisiatif pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan fortifikasi tepung gandum dengan zat besi dan asid folik di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) pek 1 kilogram.

"Pihak KKM juga mengambil maklum bahawa semua pengilang tepung gandum yang terlibat telah melaksanakannya sejak 1 Julai 2021.

"Pelaksanaan inisiatif ini oleh KPDNHEP adalah sejajar dengan saranan KKM di mana inisiatif ini merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang berkesan dan menyeluruh untuk meningkatkan pengambilan zat besi dan asid folik dalam kalangan rakyat Malaysia," ujar beliau.

Tambah Dr Noor Hisham, pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik ke dalam tepung gandum bersubsidi juga dilihat dapat membantu rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan akses makanan berkhasiat bagi meningkatkan status pemakanan dan kesihatan mereka dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19.

"Pelaksanaan fortifikasi tepung gandum oleh pihak KPNDHEP ini juga telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak pengilang tepung gandum dan diharapkan mendapat sokongan berterusan dalam usaha KKM untuk melaksanakan fortifikasi zat besi dan asid folik ke atas semua tepung gandum dalam pasaran di Malaysia secara mandatori," katanya.