KUALA LUMPUR: Satu kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di Malaysia dalam tempoh setiap 90 minit tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Kulanthayan K.C Mani berkata, peningkatannya sangat ketara terutama jika dibandingkan dengan musim pandemik malah ketika prapandemik.

Menurutnya, jumlah kemalangan jalan raya pada 2022 juga menggusarkan dengan 545,630 kes direkodkan sepanjang tahun tersebut.

“Ia satu situasi yang tidak begitu baik, kerana ada peningkatan jumlah kemalangan yang lebih tinggi dan angka kematian juga meningkat kepada 6,076 kematian.

“Ini dua angka yang kita seharusnya kurangkan… kita seharusnya melihat ini sebagai ‘traffic pandemic’. Terdapat pelbagai cara untuk mengurangkan angka ini.

“Dua cara yang paling efisien yang kita harap akan diambil ialah penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi.

“Mana-mana negara pun kalau guna pengangkutan awam lebih tinggi, angka kemalangan akan turun dan angka kematian akan berkurang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai program 7th United Nation Global Road Safety Week di Kuala Lumpur pada Selasa.

Selain itu, katanya, sekiranya semua kenderaan dapat mengurangkan halaju ketika berada di jalan raya, ia juga mampu mengurangkan kemalangan dan sekali gus, mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Ketika prapandemik, angkanya sebelum tahun 2017 memang tinggi tapi selepas itu semakin menurun.

“Tahun lepas meningkat dan sudah nampak trend kembali meningkat. Ini satu situasi yang kita dan semua pihak perlu kerjasama kurangkan jumlah kemalangan," katanya.