Sarawak kembali mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 pada Rabu membabitkan seorang lelaki warga tempatan yang bekerja di Singapura.

Ia menjadikan jumlah kes positif negeri itu meningkat kepada 700 kes, menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu menyebut pesakit terbabit yang bekerja di Singapura pulang pada 6 September menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) .

“Kes (pesakit terbabit) telah dibenar untuk meneruskan perjalanan menerusi penerbangan ke Sibu pada 7 September dan terus dibawa ke pusat kuarantin.

“Pada 8 September, selepas hari kedua kuarantin, kes disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama juga menyebut pesakit itu menjalani ujian saringan swab COVID-19 secara rutin iaitu dua minggu sekali di tempat kerjanya di Singapura.

Kali terakhir dia menjalani saringan COVID-19 di Singapura ialah pada 4 September dan ujian tersebut disahkan negatif.

“Kes (dia) telah dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan pengesanan kontak rapat masih dijalankan,” kata kenyataan sama.

Sementara itu, tiada kes baharu pulih dan discaj direkodkan, menjadikan jumlah statistik itu kekal dengan 676 kes atau 96.57 peratus.