Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat satu kluster penularan COVID-19 membabitkan wad Melor di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil siasatan setakat ini mendapati kemungkinan punca jangkitan tersebut berasal dari majlis perkahwinan yang berlangsung di Ipoh, Perak dan petugas barisan hadapan berkumpul di 'pantri' di wad tersebut.

Setakat ini, katanya seramai 14 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada jururawat dan doktor disahkan positif COVID-19.

"Apa yang penting adalah kes pertama dilaporkan 27 Mac 2020 dan siasatan kita mendapati mungkin punca jangkitan itu berasal daripada komuniti majlis perkahwinan di Ipoh.

"Ada kehadiran majlis perkahwinan di Ipoh dan kemudian salah seorang (daripada mereka) balik ke hospital tersebut di Likas (Sabah) dan mereka menjangkiti rakan mereka di situ (hospital).

"Siasatan kita juga mendapati punca jangkitan bukan di wad, tetapi ruang sempit seperti di pantri. Ramai pekerja atau jururawat dan doktor berkumpul di pantri dan mungkin mereka sedang makan dan sebagainya, dan mungkin ada kesan jangkitan di sana (pantri)," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

BACA: Dua kluster baharu COVID-19 dikesan di Sabah

Susulan itu, katanya KKM telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan acquired case detection dan pengasingan termasuk mengarahkan mereka yang berkontak rapat dikuarantin.

Terdahulu,Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi memaklumkan siasatan awal mendapati punca jangkitan kes di wad tersebut adalah dari luar hospital dan kemudiannya menjangkiti beberapa kontak pekerja.

Malah tegas beliau, siasatan juga mendapati tiada berlaku jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) semasa bertugas.