KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kes kematian rabies manusia di Sarawak yang positif pada 5 Mei 2021.

Wanita berusia 45 tahun yang tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus, Selangau itu meninggal dunia 6 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit mempunyai sejarah digigit anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan pergaduhan dengan anjing lain pada 9 Mac 2021.

Wanita itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama.

Rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan temu janji susulan telah diberikan.

Namun, malangnya kes telah tercicir daripada rawatan susulan.

"Setelah berjaya dikesan, kes telah diberi suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April 2021. Namun begitu, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei 2021 lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei 2021. Dalam pada itu keadaan pesakit semakin merosot dan kes telah meninggal dunia pada 6 Mei 2021 jam 7:13 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis," ujarnya.

Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di Sarawak untuk tahun 2021 sebagai tiga kes.

Manakala, sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, 34 kes dilaporkan dengan melibatkan 32 kematian.

"Terdapat dua kes kanak-kanak yang masih hidup dengan komplikasi neurologi yang teruk," katanya lagi.