KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Arab Saudi (Saudia) menandatangani perjanjian dengan Tabung Haji (TH) untuk membawa jemaah haji Malaysia bagi tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024.

Perjanjian yang ditandatangani pada Khamis di ibu pejabat TH di sini, melibatkan pengangkutan jemaah haji bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad bin Abdul Aziz di Madinah, menurut Kedutaan Arab Saudi dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Surat tawaran haji mula dikeluarkan Isnin depan - TH

BACA: Kos haji tahun ini naik RM2,500 bagi seorang jemaah

Majlis menandatangani perjanjian dihadiri duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Qattan, Ketua Pengarah Jabatan Haji dan Umrah di Saudi Airlines Amer Al-Ghamdi, Pengarah Saudi Airlines untuk Malaysia, Thailand dan Vietnam Ahmed Al-Owaidi, dan Pengurus Operasi Saudi Airlines di Indonesia, Malaysia dan Thailand Mohammed Al-Ghamdi.

Bagi pihak Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman turut hadir, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA