KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 14,306 jemaaah haji bagi tahun 2022 bermula Isnin depan.

Menurut Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, setiap jemaah diberi tempoh tujuh hari bekerja bagi menjawab surat tawaran berkenaan.

"Hari Isnin akan keluar surat buat jemaah TH. Apabila kita mengeluarkan Surat Tawaran Haji pada Isnin nanti, diminta jemaah bekerjasama dengan TH menyegerakan semua urusan supaya dapat menjawab surat tawaran ini setuju atau tidak dalam tempoh tujuh hari bekerja.

"Mereka kena siapkan pasport, pemeriksaan kesihatan, sijil vaksinasi tiga dos lengkap dan cukupkan wang bayaran haji dalam akaun TH," jelasnya.

Mengulas mengenai pemeriksaan kesihatan dan ujian calitan (PCR), katanya, jemaah boleh menikmati pengurangan kadar bayaran sekiranya membuat pemeriksaan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, mengulas mengenai Bantuan Kewangan TH kepada jemaah haji ujarnya, TH dijangka membelanjakan RM7 billion menjelang tahun 2030.

BACA: Kos haji tahun ini naik RM2,500 bagi seorang jemaah

BACA: Malaysia ditawar 14,306 kuota haji, hanya satu juta jemaah dari seluruh dunia dibenar ke Tanah Suci tahun ini

"Bantuan Kewangan TH kalau dari tahun 2001 sampai 2019 TH telah berbelanjakan lebih RM2 billion dalam bantuan kewangan haji sahaja.

"Kalau selepas ini, ia akan meningkat menjelang tahun 2030 akan dianggarkan RM7 billion bantuan kewangan," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media TH berhubung kos haji bagi tahun 2022 di Menara Tabung Haji di ibu negara pada Jumaat.

Untuk rekod bagi tahun 2022, TH dijangka membelanjakan RM150 juta bagi menampung kos haji yang meningkat susulan caj dan pelbagai perkhidmatan dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.