IPOH: Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang memulakan tugas sebagai Mufti Perak yang baharu hari ini beriltizam meneruskan usaha-usaha yang ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria dalam mengembangkan lagi syiar Islam di negeri itu.   

Wan Zahidi, 80 tahun, berkata beliau juga mempunyai hubungan yang akrab semasa Allahyarham berkhidmat sebagai Kadi Besar di Pulau Pinang sekitar tahun 1970-an.

Justeru, katanya, beliau terharu atas perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang melantiknya sebagai Mufti dan berjanji akan meneruskan legasi dan misi yang telah dirancang Harussani sebelum ini.

“Pada saya, sepanjang khidmat Harussani di Perak, Allahyarham telah melakukan sesuatu yang hebat di negeri ini dalam konteks agama.

“Beliau merupakan seorang yang agresif dan berani dengan menyuarakan pandangan-pandangan yang perlu disuarakan dalam konteks mempertahankan kesucian agama Islam.

“InsyaAllah saya akan mengikuti langkah dan usaha yang ditinggalkan beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada hari pertama bertugas di Jabatan Mufti Negeri Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu, Wan Zahidi memasuki pejabat di Jabatan Mufti itu pada sekitar jam 8 pagi, berbusana lengkap Baju Melayu hijau dan sampin.

Ketibaannya disambut Timbalan Mufti Datuk Zamri Hashim serta para pegawai dan kakitangan jabatan.

Tokoh pemikir Islam yang berasal dari Hulu Perak, Gerik itu berkata, ini adalah kali ketiga dia menumpahkan khidmat di negeri kelahirannya.

“Selepas saya menamatkan pengajian di Mesir pada awal 1975, saya berkhidmat sebagai pensyarah di Politeknik Ungku Omar di Ipoh.

“Kemudian pada 2002, saya dilantik sebagai Rektor di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar yang pada ketika itu dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR),” kata Wan Zahidi

Pada Jun lalu, media melaporkan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu dilantik sebagai Mufti Perak berkuat kuasa 1 Ogos.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, lantikan Wan Zahidi mendapat perkenan Sultan Perak untuk tempoh perkhidmatan selama dua tahun.

Wan Zahidi sebelum ini juga merupakan penyandang kepada jawatan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam.

Selain itu, beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia.

Jawatan Mufti Perak kosong selepas pemergian Harussani pada 30 Mei 2021.

Harussani, 82 tahun, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan COVID-19.