KUALA LUMPUR : Bekas pegawai bank Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetahui urus niaga dana fidusiari oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini termasuk dana tiga syarikat berkaitan membabitkan pindahan wang dalam jumlah yang besar kepada pelbagai penerima.

Menurut bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) Kevin Michael Swampillai, langkah itu bertujuan bagi mengaburi pihak berkepentingan di Malaysia.

Kevin yang juga merupakan saksi pendakwaan ke-44 ketika membacakan pernyataan saksinya berkata, urus niaga berkenaan diketahui Najib kerana SRC International merupakan adalah syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan (MOF).

Ini ditambah dengan kedudukan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ketika itu yang dimiliki sepenuhnya oleh MOF.

“"Dalam menghadapi persoalan berterusan daripada BSI (Singapura) mengenai destinasi akhir (dana) dan penggunaan dana yang disalurkan melalui urus niaga dana fidusiari, jawapan konsisten Jho Low adalah ia satu pelaburan antara kerajaan yang sangat sulit, oleh itu tiada maklumat lanjut boleh diberikan.

"Selain itu, saiz urus niaga ini adalah sangat besar pada magnitud dan kekerapan yang tinggi sehingga ia memerlukan kelulusan peringkat atasan iaitu oleh pegawai kerajaan tinggi, seperti perdana menteri.

"Pada peringkat awal berurusan dengan Jho Low dan entiti berkaitan MOF pada 2011, saya tidak mengetahui motifnya untuk memilih urus niaga dana fidusiari berbanding penyelesaian lain seperti struktur insurans dan amanah," katanya.

Mengulas lanjut, Jho Low secara berterusan menyatakan kepada BSI bahawa dirinya merupakan penasihat kepada Najib.

Tambahnya lagi, beliau mendapati Jho Low menggunakan urus niaga dana fidusiari bagi mengaburi pelbagai pihak berkepentingan berdasarkan maklumat awam yang dikeluarkan sejak 2015.

Jelasnya, langkah itu juga memudahkan aliran wang ke destinasi tertentu yang mereka pilih, di samping melindungi identiti pelabur.

Kevin berkata demikian sewaktu perbicaraan terhadap Najib, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.