"Saya bayangkan macam tsunami, lumpur akan tenggelamkan kami."

Itu reaksi Naim Ran Yunos, 36, mangsa banjir lumpur di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur Karak semalam.

Kejadian yang berlaku begitu pantas membuatkan Naim bersama bapanya, Mohd Yunos Ismail, 62, terus panik dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.

"Saya tengah memandu dalam keadaan hujan yang sangat lebat. Di depan saya ada sebuah lori tangki. Jadi tiba-tiba lori tangki itu terbabas, melintang tengah jalan, saya ingatkan kemalangan sebab jalan licin.

"Saya dan kereta belakang terpaksa berhenti mengejut. Pada masa itu baru kami nampak ada lumpur yang sangat banyak tengah mengalir dari kanan jalan," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

BACA: Banjir lumpur di Lebuhraya KL-Karak

FOTO: Banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

BACA: Banjir Lumpur Karak: Empat kenderaan tertimbus di Lebuhraya KLK berjaya dikeluarkan

BACA: Laluan kontra dibuka di Lebuhraya KL-Karak

Naim yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, menyifatkan kejadian berlaku begitu pantas sekaligus memaksa mereka melarikan diri dan meninggalkan kenderaan.

"Agak cepat juga lumpur mengalir turun dari bukit. Saya nak undur kereta ke belakang pun tak boleh. Jadi saya dengan ayah keluar dari kereta dan lari sebab lumpur yang turun itu memang cepat dan laju, memenuhi ruang atas jalan.

"Masa tu memang terlalu panik, memang fikir macam-macam. Fikir macam dalam filem, tsunami lah. Nanti tanah lumpur ini tutup kami semua. Sampai ke situ saya fikirkan," kata usahawan muda itu.

Menurut Naim, beliau begitu terkesan dengan kejadian itu sehingga membuatknya serik dan trauma untuk melalui jalan bercerun, terutama ketika hujan.

Kesan daripada kejadian tersebut telah membuatkan Naim serik dan trauma untuk melalui jalan bercerun terutama ketika hujan.

Bagaimanapun, Naim bersyukur kerana beliau dan bapanya terselamat dalam kejadian tersebut.


"Bagaikan tsunami, lumpur tenggelamkan kenderaan"