KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan beliau dilepas tanpa dibebaskan bagi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu berkata, pengumuman mahkamah itu sebagai satu perkhabaran gembira bukan sahaja buat dirinya, malah kepada seluruh ahli keluarga termasuk isteri tercinta.

"Saya dan semua ahli keluarga termasuk menantu, cucu dan isteri berasa bersyukur kepada Allah kerana hari ini mahkamah telah buat keputusan bahawa 47 kes yang telah dituduh kepada saya telah digugurkan.

"Saya telah diputuskan untuk dilepaskan, namun ia tidak dibebaskan kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) belum memuktamadkan siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

"Perkara kedua melibatkan pengemukaan representasi yang masih belum dimuktamadkan sepenuhnya," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

BACA: Ahmad Zahid lepas tanpa bebas kes rasuah, pecah amanah, AMLA

Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa bebas daripada 47 pertuduhan

Berhubung pengguguran kes tersebut, Ahmad Zahid berkata, beliau menzahirkan terima kasih kepada barisan peguam yang telah bekerja keras.

Beliau berkata, kesemua peguam telah menjalankan tugas dengan penuh profesional dan bertanggungjawab.

"Saya sangat terhutang budi dengan pelaksanaan tugas yang dilakukan oleh seluruh barisan peguam," katanya.

Selain itu kata beliau, terima kasih turut ditujukan kepada seluruh barisan pemimpin dan penyokong UMNO yang terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Majlis Tertinggi UMNO, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Puteri UMNO.

"Ucapan terima kasih juga kepada seluruh ulamak, guru-guru saya serta doa daripada rakan-rakan yang diketahui dan tidak diketahui doa mereka.

"Terima kasih juga ditujukan kepada seluruh rakan komponen Barisan Nasional (BN) atas dokongan diberikan kepada saya selama ini," ujarnya.

Tambahnya, tugas UMNO dan BN adalah meneruskan perjuangan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Malah katanya, perjuangan juga diteruskan untuk menghalang segala lemparan atau pertuduhan bermotifkan politik dapat dihentikan. - Sinar Harian