SUNGAI BULOH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan menafikan dakwaan beliau menerima saham bernilai jutaan ringgit daripada seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin, sambil menyifatkan tuduhan itu sama sekali tidak berasas dan tidak masuk akal.
Menurut Ramanan, tiada mana-mana Ahli Parlimen boleh terlibat dalam transaksi saham bernilai ratusan juta ringgit tanpa pengetahuan dan pengawasan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.
Advertisement
“Dakwaan mengatakan puluhan atau ratusan ribu, malah berjuta-juta saham telah dipindahkan kepada saya adalah tidak benar. Kalau benar, buktikan. Saya tidak memegang sebarang saham awam.
“Saya juga tidak fikir mana-mana Ahli Parlimen yang waras akan berurus niaga saham bernilai ratusan juta tanpa dikesan. Kita ada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Transaksi sebesar itu pasti mencetuskan amaran,” katanya dalam sidang media khas, pada Rabu.
Pada masa sama, Ramanan menafikan mengenali Victor, sekali gus menolak dakwaan pernah mengadakan sebarang pertemuan atau terlibat dalam konspirasi bersama lelaki itu.
“Saya tidak pernah bertemu, tidak mengenali dan tidak pernah bercakap dengan beliau. Namun, ada pihak cuba membina naratif jahat seolah-olah saya terlibat. Ini usaha untuk memecah-belahkan parti,” katanya yang turut menafikan beliau adalah 'Mr. R' yang dikaitkan menerima saham berkenaan.
Beliau turut menggesa Victor supaya pulang ke Malaysia dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya benar mempunyai bukti.
“Jika benar ada bukti, pulanglah dan tampil kepada pihak berkuasa. Jangan membuat kenyataan tidak bertanggungjawab dari luar negara,” katanya.
Terdahulu pada Selasa, Victor mendakwa seorang Ahli Parlimen daripada PKR telah meminta RM10 juta daripadanya pada Oktober 2025, kononnya bagi membantu menyelesaikan masalah undang-undangnya melalui pihak yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.
Menurut Victor, dia telah membayar RM9.5 juta daripada jumlah tersebut, namun kini menuntut bayaran balik penuh selepas masalah berkenaan gagal diselesaikan.