Saya campur tangan kerana Johor sebahagian Malaysia - Tun Mahathir

Wan Syamsul Amly
April 11, 2019 04:53 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, campur tangan tidak akan dibuat jika ia adalah negara luar dan bukan sebahagian dari Malaysia. - Gambar fail
Kerajaan perlu campur tangan dalam sebarang isu yang melibatkan Johor kerana kedudukan negeri itu sendiri di dalam negara.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, campur tangan tidak akan dibuat jika ia adalah negara luar dan bukan sebahagian dari Malaysia.
"Saya tidak tahu kerana saya rasa, saya percaya Johor adalah sebahagian daripada negara ini. Kecuali ia adalah negara asing, saya tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara asing," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Pameran automotif, Malaysia Autoshow 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada Khamis.
Pameran yang berlangsung pada 11 sehingga 14 April itu juga di dijangka mencatat transaksi jualan sebanyak RM250 juta.
Pada Rabu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menerusi akaun Facebook rasmi baginda bertitah, negeri itu masih mempunyai seorang Sultan dan pihak tertentu tidak diminta tidak mencampuri urusan negeri itu.
BACA: 'Jangan sibuk campuri urusan negeri, Johor masih ada Sultan' - Sultan Johor
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir meminta UMNO Johor diam dan tidak mengeluarkan sebarang cadangan nama termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Menteri Besar baharu negeri itu.
Jelasnya, Muhyiddin sudah mempunyai tugas selain akan meletakkan calon lain untuk jawatan itu.
"Parti yang menang patut bercakap mengenai Menteri Besar dan bukan (parti) yang kalah, yang kalah boleh terus diam," ujarnya.
Ketua Pembangkang Johor Hasni Mohammad sebelum ini berkata akan mengadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membincangkan kemungkinan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri baru diadakan.
Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berpendapat tiada anggota DUN (ADUN) Pakatan Harapan yang layak menjadi menteri besar selain Presiden Bersatu, Muhyiddin.
Muhyiddin yang juga ADUN Gambir pernah dilantik sebagai menteri besar di era UMNO pada tahun 1986 sehingga 1995.
#calon #kerajaan #Mahathir Mohamad #Menteri Besar #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Sultan Johor #UMNO