Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan berhati-hati dalam melakukan rombakan Kabinet kerana tidak lagi membuat kesilapan.

Ia berikutan katanya, pilihan yang dibuat suatu ketika dulu adalah salah kerana individu berkenaan gagal menjalankan tanggungjawab.

“Saya sudah (pernah) lakukan rombakan Kabinet. Tukar menteri tak semestinya akan jadi lebih baik. Ia mungkin jadi lebih buruk. Jadi saya perlu berhati-hati dalam rombakan Kabinet.

“Saya pilih orang selalunya gagal. Orang buat tak kena. Jadi sebab itu saya berhati-hati untuk rombak Kabinet. Kita boleh buang semua tapi ada jaminankah semua akan bekerja dengan baik? Semua orang baru,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Seoul.

Justeru katanya, satu penambahbaikan akan dilakukan dalam memperbetulkan kekurangan dalam kalangan anggota Kabinet.

“Parti pembangkang (kini kerajaan) tak pernah jadi parti kerajaan dan apabila jadi kerajaan dia nak bawa diri susah sikit sebab susah nak faham. Nanti kita kena ada adjustment (pelarasan),” jelasnya.

Katanya, kebanyakan anggota Kabinet masih baharu dalam kerajaan dan mereka seharusnya diberi peluang oleh rakyat untuk bersama mentadbir negara.

“Berilah peluang sampai dia tunjukkan yang dia tak guna punya orang. Kita kick (tendang) dia keluarlah. Namun setakat ini berguna. Saya tahu dia report dekat saya. Buat masa ini ya (saya puas hati dengan Kabinet saya),” ujarnya.