Calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menegaskan beliau merupakan proksi akar umbi Umno khusus pemuda sekali gus menafikan beliau proksi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seperti didakwa sesetengah pihak.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Bendang Baru, Langkawi itu menegaskan beliau menawarkan diri berdasarkan permintaan akar umbi yang inginkan perubahan dalam Pergerakan Pemuda.

"Kalau nak katakan saya sebagai proksi, ya...saya memang proksi akar umbi yang mahukan perubahan dalam Pemuda Umno. Kalaulah perlunya proksi, proksi tersebut daripada individu yang berpengaruh tertentu, Alhamdulillah.

"Dan kalau saya proksi kepada rakyat atau pemuda kebanyakan, lagi alhamdulillah, kerana mengikut pengundian baru, perlu sokongan akar umbi.

"Jadi saya memerlukan undi akar umbi ini. Bukan satu dua individu berpengaruh sahaja,"," Katanya pada sidang media khas yang diadakan di Bangsar hari ini.

Sebelum ini timbul dakwaan yang mengatakan keputusannya menawarkan diri bertanding menentang Khairy merupakan agenda politik yang dikaitkan dengan pertembungan dua bekas Presiden Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penyertaan Akhramsyah mendapat restu Badan Perhubungan Umno Kedah yang dipengerusikan Datuk Mukhriz Mahathir.

Pada Khamis Akramsyah yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid, diperkenalkan Umno Kedah kepada penyokong dan perwakilan parti bersama 11 lagi calon yang akan bertanding merebut beberapa jawatan dalam Pemuda, Wanita dan Puteri.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College di London.

Jurutera perunding sebuah syarikat minyak antarabangsa selama 16 tahun ini berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding kali ini memandangkan Pemuda Umno dituduh "tidak lagi mendesak dan menjulang obor perjuangan agenda Melayu".

Beliau juga menegaskan ada di kalangan anggota akar umbi yang merintih dan bimbang sekiranya Umno tidak menjaga kebajikan mereka serta dasar kerajaan yang tidak mencapai sasarannya, antara sebab beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Malah kata beliau ada rintihan akar umbi Pemuda tentang sentuhan kepimpinan yang dikatakan tidak cukup kerap sampai ke bawah.

"Dan lebih parah lagi, ada orang muda yang kini menuduh pemuda sebagai tidak lagi mendesak, tidak lagi menjulang perjuangan agenda Melayu.

"Agenda yang saya akan bawa Insya-Allah sekiranya terpilih sebagai ketua Pemuda yang baru, adalah menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu yang seharusnya menjadi tanggungjawab Pemuda Umno," katanya.

Selain Akramsyah, dua lagi muka baru menawar diri untuk merebut jawatan itu ialah ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali dan penolong setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail.

Semasa pemilihan parti 2008, Khairy menghadapi pertandingan tiga penjuru iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamed Khir Toyo.

Khairy memperolehi 304 undi dengan mengalahkan Dr Mohd Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Mukhriz Mahathir (232 undi).

Pemilihan jawatan tertinggi sayap Pemuda akan diadakan pada 12 Oktober ini.