'Saya tak akan maafkan mereka' - ibu mangsa

Bernama
September 17, 2017 08:31 MYT
Noorazlina mengesat air mata ketika jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Tuan Haji Said pada 15 Sept, 2017. - Gambar fail
"Saya tidak akan maafkan perbuatan mereka yang membakar pusat tahfiz anak saya," kata Noorazlina Bakry, 36, ibu kepada seorang pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang terkorban dalam kejadian kebakaran pusat itu Khamis lepas.
"Saya tidak akan maafkan mereka. Banyak lagi perkara yang saya mahu lakukan untuk anak saya, tetapi sekarang sudah tidak sempat lagi. Saya mahukan keadilan untuk anak saya.
"Hati apa yang sanggup buat macam itu kepada pelajar-pelajar tahfiz," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini.
Anaknya Muhammad Fahmie Abdullah, 11, adalah antara 21 pelajar yang maut dalam kejadian itu. Dua lagi merupakan warden asrama pusat tersebut.
BACA: Akibat ejek-mengejek, pusat tahfiz dibakar
BACA: Kebakaran tahfiz: Tindakan tegas jika terbukti wujud unsur khianat - TPM Zahid
Pihak polis telah memaklumkan tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.
Noorazlina berkata beliau tidak sanggup untuk melihat wajah-wajah yang menyebabkan anaknya terkorban.
-- BERNAMA
#ibu #kebakaran #mangsa #Muhammad Fahmie Abdullah #Noorazlina Bakry #pelajar #Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah #suspek