NATIONAL
"Saya terima pingat kerana hormati Yang Dipertua Negeri Melaka" - Tey

Tey berkata sehingga kini, beliau belum menerima sebarang arahan daripada pusat untuk berbuat demikian. - Foto Facebook Tey Kok View
"Saya terima pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kerana menghormati anugerah yang diberikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob," kata Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok View.
"Penganugerahan tersebut adalah satu penghargaan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka atas jasa dan sumbangan yang saya berikan kepada kerajaan negeri dan saya menghargainya," kata Tey kepada pemberita di sini hari ini.
Tey yang juga anggota Exco bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar berkata beliau bagaimanapun akur dengan arahan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sekiranya diminta untuk menyerahkan kembali pingat tersebut yang membawa gelaran Datuk.
Katanya sehingga kini, beliau belum menerima sebarang arahan daripada pusat untuk berbuat demikian.
Guan Eng berkata CEC DAP akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan perkara itu kerana menyifatkan ia (menerima anugerah) tidak mencerminkan perjuangan parti.
Tey berkata beliau mohon maaf kepada Yang Dipertua Negeri Melaka atas polimik politik yang tular sehingga boleh mencemarkan imej negeri Melaka.
"Saya ingin melafazkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin tertinggi negeri Melaka, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan saya juga menghormati Institusi Raja-Raja Melayu," katanya.
Selain Tey, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Wong Fort Pin turut menerima pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada 13 Okt.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami