PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak akan bersumpah laknat berhubung kenyataannya baru-baru ini yang menyentuh kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam masa sama, Muhyiddin tidak kisah berapa kali pun Presiden UMNO mahu bersumpah, namun, beliau secara peribadi tidak akan berbuat demikian.

Kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, apa yang disebut beliau merupakan perkara benar dan bukannya tercetus menjelang pilihan raya seperti didakwa Ahmad Zahid.

"Hak dia (Ahmad Zahid) nak sumpah atau tak sumpah. Bagi saya nak cakap kepada rakyat tak boleh berbohong. Kalau (Ahmad Zahid) nak sumpah… berapa kali nak sumpah, sumpahlah.

"Saya tak bersumpah kerana saya tak berbohong. Apa saya kata itu 'haq' (benar). Katakan yang haq itu walaupun ia pahit.

"Saya sebut apa saya katakan kerana itu adalah benar. Situasi sekarang pun kita kena nyatakan perkara betul dan saya harap rakyat faham apa yang saya katakan," kata Muhyiddin.

Sumpah Laknat | Saya tidak akan bersumpah kerana saya cakap benar - Muhyiddin

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis berkenaan di sini, pada Selasa.

Ahmad Zahid sebelum ini menafikan pernah berjumpa Muhyiddin ketika beliau masih Perdana Menteri dan
meminta Ahli Parlimen Pagoh itu membantu kes mahkamahnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menafikan membawa timbunan fail seperti dan meminta untuk dilepaskan seperti yang didakwa Muhyiddin sebelum itu.

Tegas Ahmad Zahid, beliau sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin terhadapnya.