"Saya tidak berkhidmat lagi" - Gani Patail enggan ulas afidavit kes Musa Aman

Harits Asyraf Hasnan
Jun 10, 2020 08:00 MYT
Abdul Gani mempertahankan keputusan jabatan itu tahun 2012 untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Musa. - Foto Fail / BERNAMA
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail enggan mengulas lanjut berhubung afidavit yang diikrarkan oleh beliau berkaitan pendakwaan rasuah dan penggubahan wang haram terhadap Tan Sri Musa Aman.
Selepas beberapa kali usaha mendapatkan penjelasannya dibuat, Abdul Gani menghubungi semula Astro AWANI.
Namun, beliau hanya memberi reaksi ringkas.
“Saya tidak lagi berkhidmat dalam jabatan. Ia (penjelasan) sama seperti apa yang dinyatakan dalam afidavit,” katanya sebelum menamatkan panggilan pada Rabu.
BACA: Musa Aman bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram
Pada Selasa, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi justifikasi susulan keputusannya untuk tidak meneruskan pendakwaan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.
Melalui afidavit diterima Jabatan Peguam Negara pada 5 Jun lalu, Abdul Gani mempertahankan keputusan jabatan itu tahun 2012 untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Musa.
Idrus berkata, dalam afidavit itu yang difailkan Musa bagi membatalkan tuduhan terhadapnya, menyatakan bahawa Abdul Gani membuat keputusan itu berikutan siasatan mendapati wang yang terbabit adalah sumbangan politik.
BACA: Apa yang terjadi disebabkan perbezaan politik - Musa Aman
Beliau berkata, Abdul Gani menyatakan keputusan itu dibuat secara kolektif oleh individu peringkat atasan, iaitu bekas Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Seri Tun Abdul Majid Tun Hamzah; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohammad dan bekas Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.
#Abdul Gani Patail #mahkamah #Musa Aman #Peguam Negara #penggubahan wang haram #politik #Rasuah