KOTA KINABALU: Salah seorang tertuduh 'Geng Upik' yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai kemampuan untuk mengupah peguam.

Tertuduh, Mahathir Jibarail, 49, antara enam tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika prosiding pendakwaan dijalankan.

Sebelum dibacakan pertuduhan, Mahathir yang merupakan tertuduh terakhir ditanya sama ada beliau ada mengupah peguam untuk mewakilinya dan adakah beliau mahu mengupah peguam.

"Saya tiada kemampuan (upah peguam)," katanya dengan wajah yang sugul ketika berada di kandang tertuduh.

Sementara itu, tertuduh kelima Maslan Sani, 41, turut tidak diwakili peguam ketika dibacakan pertuduhan di mahkamah sama.

Bagaimanapun sebelum itu dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa mempunyai peguam yang mewakilinya ketika di Kuala Lumpur.

Prosiding diteruskan terhadapnya tanpa kehadiran peguamnya dan dia memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Empat lagi iaitu tertuduh pertama, Rahman Burijin, 44; tertuduh keenam, Nelson Yen Yee Chung, 46; tertuduh kesembilan, Alkan Abraham, 35; dan tertuduh kesepuluh, Maslan Mahmud, 49, memaklumkan masing-masing tidak mempunyai peguam.

Sementara itu, lima lagi tertuduh lain iaitu Jaysalfian Jaineh@Zaini, 45, diwakili peguamnya, Mohd Amirul Amin; Mohd Fauzie Rablin, 33, diwakili peguam, Sylyester Kuan manakala Shahlan Shah Abdul Samad, 37, Mohd Faridzul Asmahadi 31, dan Fazrul Bahar, 32, diwakili peguam mereka Shahlan Jufri dan Mohd Lokman Zabidi.

Sebelum itu, pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim dan prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazron Mohd Sham, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzuan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, 11 individu dipercayai dalang kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Kesemua tertuduh melakukan kesalahan antara 2015 hingga 24 Disember 2023 telah menjadi ahli kumpulan Geng Upik di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas dibacakan pertuduhan di hadapan Noor Hafizah. - Sinar Harian