KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuat laporan polis terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd, menyangkal sekeras-kerasnya semua dakwaan yang dibuat oleh Serba Dinamik.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata Serba Dinamik telah menuduhnya berniat jahat dan tidak mengikut prosedur dalam melaksanakan tugasnya.

"Dakwaan Serba Dinamik terhadap SC dalam kenyataan 26 muka surat sebagai tidak berasas dan berniat jahat," katanya.

Sebagai badan berkanun yang diberi mandat oleh Parlimen untuk mengawal selia pasaran modal Malaysia, SC diberi tanggungjawab untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasaran modal.

"Tindakan penguatkuasaan SC terhadap Serba Dinamik telah diambil demi kepentingan awam bagi meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan penyata kewangan syarikat tersenarai," katanya.

SC turut menyatakan bahawa semua siasatannya berhubung perkara ini telah dijalankan selaras dengan kuasa statutorinya serta proses dan prosedur yang telah dimantapkan.

"Kami menafikan bahawa kami gagal menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes ini. Pelaksanaan kuasa siasatan, termasuk serbuan yang dijalankan di pejabat Serba Dinamik pada 18 Mei 2021, adalah wajar dan dilaksanakan dengan niat baik dalam menjalankan kuasa pengawalseliaannya.

"Pegawai Penyiasat, Pegawai Pendakwa dan Timbalan Pendakwa Raya SC tidak pernah mengancam mana-mana kakitangan Serba Dinamik dan kenyataan yang direkodkan daripada saksi-saksi ini telah dijalankan mengikut proses yang sewajarnya dan kenyataan tersebut telah diberikan kepada SC secara sukarela tanpa sebarang paksaan, ugutan atau janji," katanya.

SC turut mengecam sebarang percubaan untuk menggertak SC atau pegawainya dan memperlekehkan kuasa dan kredibilitinya.

Sebelum ini, Serba Dinamik dan empat ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanannya (Tertuduh) telah dihadapkan ke mahkamah pada Disember 2021 untuk pelanggaran undang-undang sekuriti kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung angka hasil Serba Dinamik sebanyak RM6.01 bilion yang terkandung di dalam keputusannya yang disatukan bagi suku tahun dan tahun berakhir 31 Dis 2020.

-- BERNAMA