KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin sebagai Ahli Lembaga untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa pada 15 Ogos, 2023.

Dalam kenyataan pada Khamis, SC menjelaskan Lembaga, dilantik oleh Menteri Kewangan, bertanggungjawab untuk mengawasi keseluruhan tadbir urus SC dan diberi mandat untuk pengawalseliaan serta pembangunannya.

Pengerusi, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata latar belakang mereka akan membawa perspektif baru dan memastikan pendekatan yang menyeluruh untuk membuat keputusan dan pengawasan.

"Pelantikan Mohammad Faiz dan Alizatul Khair bermakna barisan Lembaga SC akan terdiri daripada kumpulan profesional yang lebih pelbagai dengan pengetahuan luas dalam pelbagai sektor," katanya dalam kenyataan yang sama.

Mohammad Faiz mempunyai lebih 38 tahun pengalaman dalam audit dan khidmat nasihat perniagaan di Malaysia dan United Kingdom.

Beliau ialah bekas rakan kongsi dan Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Institut Akauntan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.

Alizatul Khair pula mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman, pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) oleh Yang di-Pertuan Agong pada November 2020.

-- BERNAMA