BINTANG Avengers, Scarlett Johansson telah mengahwini tunangnya, pelakon dan penulis Saturday Night Live, Colin Jost, dalam satu upacara ringkas hujung minggu lalu, lapor Reuters.

Berita mengenai perkahwinan itu diumumkan pada Khamis oleh badan amal Meals on Wheels, yang memaklumkan pasangan itu memberi sokongan terhadap usaha mereka membantu warga emas sepanjang pandemik COVID-19.

"Kami sangat gembira mengumumkan bahawa Scarlett Johansson dan Colin Jost berkahwin pada hujung minggu lalu dalam upacara ringkas dihadiri keluarga dan rakan terdekat, sebagai menghormati prosedur keselamatan COVID-19.

"Mereka berharap dapat terus membantu warga emas yang amat memerlukan perhatian pada masa yang sukar ini," kata badan amal itu di akaun Instagram mereka.  

Wakil Johansson mengesahkan berita tersebut.

Johansson dan Jost mula rapat kira-kira tiga tahun lalu dan bertunang pada Mei 2019.

Ini adalah perkahwinan pertama untuk Jost, 38, dan yang ketiga untuk Johansson, 35, yang sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Ryan Reynolds dan ahli perniagaan Perancis, Romain Dauriac.

Menerusi perkahwinan dengan Dauriac, dia dikurniakan seorang anak perempuan.

Johansson ketika ini merupakan adalah salah seorang pelakon dengan bayaran tertinggi di dunia.

Filem terbaharu lakonannya, Black Widow dijangka ditayangkan pada Mei 2021.