Sejuta bayi lahir di kawasan bencana Asia menderita kekurangan makanan, rawatan

Di seluruh Afghanistan, Bangladesh, Indonesia, Laos, Myanmar hingga Sri Lanka, kanak-kanak hidup dalam keadaan terdedah kepada ancaman banjir, taufan, kemarau dan tanah runtuh sepanjang tahun ini. - Gambar fail Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana
PHNOM PENH: Lebih sejuta bayi yang dilahirkan di khemah pelarian, kawasan dilanda banjir dan zon konflik sepanjang tahun ini dijangka berdepan kesan teruk perubahan iklim, termasuk kekurangan makanan dan rawatan perubatan.
Ringkasan AI
- Lebih sejuta bayi yang dilahirkan di zon konflik dan kawasan banjir di Asia Tenggara dan Asia Selatan pada 2025 terdedah kepada kekurangan makanan dan rawatan perubatan akibat perubahan iklim - Save the Children.
- Infrastruktur kesihatan dan bekalan makanan di Asia terjejas akibat bencana cuaca, menyebabkan penderitaan serius terhadap kanak-kanak di Afghanistan, Bangladesh, Indonesia, Laos, Myanmar dan Sri Lanka.
- Krisis iklim dan konflik dunia menyebabkan 7.7 juta bayi dilahirkan dalam keadaan terjejas, dengan kekurangan makanan, akses bantuan, dan penjagaan kesihatan ibu dan bayi - analisis Save the Children.
Di seluruh Afghanistan, Bangladesh, Indonesia, Laos, Myanmar hingga Sri Lanka, kanak-kanak hidup dalam keadaan terdedah kepada ancaman banjir, taufan, kemarau dan tanah runtuh sepanjang tahun ini.
"Satu daripada krisis yang memberi kesan paling besar ialah insiden berkaitan iklim yang berlaku di seluruh rantau ini. Ia merupakan cabaran terbesar yang dihadapi kanak-kanak dan keluarga di Asia.
"Ia memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup, akses kepada pendidikan serta perkhidmatan asas," kata Pengarah Serantau Asia Save the Children, Arshad Malik, kepada Bernama.
Pada awal Disember, pertubuhan itu melaporkan bahawa 7.7 juta bayi dilahirkan di seluruh dunia dalam situasi konflik dan krisis iklim tahun ini, apabila para ibu melahirkan anak di khemah serta pusat pemindahan yang serba kekurangan.
Analisis data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh Save the Children mendapati kira-kira 7.7 juta bayi - atau 23,000 setiap hari - dilahirkan dalam 43 krisis kemanusiaan di seluruh dunia.
Dianggarkan tujuh daripada 10 bayi ini dilahirkan di kawasan konflik atau terpaksa melarikan diri daripada peperangan, seperti di Sudan dan Gaza.
Ibu dan bayi berdepan kekurangan makanan, akses bantuan yang terhad serta ketiadaan penjagaan kesihatan ibu dan bayi yang berkualiti - sebahagian besarnya akibat kemusnahan hospital dan kemudahan kesihatan, menurut pertubuhan itu.
Impak jangka panjang krisis berkaitan iklim turut menjejaskan infrastruktur asas yang sepatutnya menyediakan perkhidmatan kepada keluarga dan kanak-kanak.
Arshad berkata kekurangan sumber atau keutamaan yang bercanggah menyebabkan kerajaan dan institusi gagal membina semula atau memulihkan kemudahan awam, sekali gus memberi kesan berpanjangan terhadap kesejahteraan kanak-kanak dan keluarga.
"Perubahan iklim bertindih dengan ketidaktentuan keselamatan dan krisis ekonomi. Kejutan iklim meningkatkan lagi kesan keseluruhan terhadap kehidupan, khususnya kanak-kanak.
"Ini meningkatkan risiko buruh kanak-kanak, perkahwinan kanak-kanak, eksploitasi, keciciran persekolahan yang berpanjangan atau dalam sesetengah kes, langsung tidak dapat bersekolah," katanya.
Selain itu, pengurangan dana antarabangsa bagi sektor pembangunan dan kemanusiaan turut menjejaskan keupayaan organisasi bantuan untuk membantu komuniti yang terjejas.
"Di satu pihak, kami berdepan peningkatan isu berkaitan iklim. Pada masa sama, kami menyaksikan peningkatan jumlah kanak-kanak yang dipindahkan akibat pelbagai faktor.
"Namun pada masa sama, kami menyaksikan pengurangan sekitar 40 hingga 50 peratus dana bantuan, yang secara langsung mengehadkan keupayaan kami untuk bertindak balas terhadap situasi ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


