KUALA LUMPUR: Matlamat pembangunan mampan menjadi panduan bagi kerajaan untuk merangka dasar dalam memastikan masa depan yang mampan merangkumi semua cabaran pembangunan dunia moden termasuk ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Malaysia mencapai kemajuan yang baik dalam usaha mengarusperdanakan pembangunan mampan selaras dengan perancangan pembangunan negara termasuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), RMK-12 dan Bajet 2022  sejajar dengan fokus ini.

Semua pihak termasuk swasta memainkan peranan penting dalam memahami dan melaksanakan matlamat pembangunan mampan ini pada setiap peringkat lebih-lebih lagi apabila dunia kini berdepan cabaran penularan pandemik COVID-19.

Sehubungan dengan itu, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) mengatur gerak kepakaran teknologi dan saintifik global untuk menggalakkan penyelesaian praktikal bagi pembangunan mampan, termasuk pelaksanaan matlamat pembangunan mampan (SDG).

Selaras dengan perkara tersebut, SDSN Malaysia akan menganjurkan acara Forum Penyelesaian Nasional (NSF) bagi menonjolkan penyelesaian terbaik yang dikenal pasti dalam kalangan rangkaian SDSN tempatan.

Bertemakan “Kesejahteraan”, NSF 2022 mencerminkan komiten Sunway terhadap pembangunan mampan, sebgaimana yang ditonjolkan melalui usaha pemeliharaan biodiversiti semula jadi di Sunway City Iskandar Puteri.

Agenda pembangunan mampan

SDSN Malaysia naungan Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs (JSC) terpusat di Sunway University.

Acara ini merupakan satu cabang daripada Forum Penyelesaian Global (GSF) yang dianjurkan di New York, Amerika Syarikat pada September 2019 lalu, bersempena dengan Persidangan Antarabangsa mengenai Pembangunan Mampan (ICSD).

JSC kini juga merupakan satu daripada lima pusat kecemerlangan SDG.

Menerusi kerjasama JCF dan SDSN, ia diharapkan dapat mencapai keseluruhan tiga matlamat dan keutamaan ke arah kejayaan Agenda Pembangunan Mampan UN menjelang 2030.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen Sunway terhadap agenda kemampanan melalui pembangunan SDG di rantau Asia.

Sunway City Kuala Lumpur merupakan salah satu pusat UN-SDSN di samping bandar New York dan Paris bagi tujuan penyelarasan inisiatif kemampanan masing-masing di benua Asia, Amerika, Eropah serta Afrika.

“Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDGs) bukan sahaja untuk kerajaan tetapi ia juga adalah tanggungjawab semua orang,” kata Pengasas dan pengerusi kumpulan Sunway Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah.

Sementara itu, Naib Presiden bagi Asia dan Ketua SDSN Pejabat Kuala Lumpur, Prof Woo Wing Thye berkata, SDSN menggalakkan ahli-ahli dan kesemua rangkaiannya untuk membangunkan inovasi serta penyelesaian kemampanan dunia sebenar kepada rakyat setempat, negara, rantau mahupun cabaran di peringkat global bagi mencapai pembangunan mampan serta matlamat SDG.

"Tahun ini NSF bermatlamat untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian progresif yang mampu memajukan agenda pembangunan mampan dalam bidang kesejahteraan yang meliputi manusia serta planet.

"Situasi pandemik global dan bencana alam yang berlaku ketika ini meningkatkan lagi gesaan bagi menangani isu pembangunan mampan," ujarnya.

Seperti GSF, NSF merupakan acara berorientasikan tindakan bagi kerajaan, syarikat swasta, orang awam serta ahli akademik dalam usaha bersama menggalakkan penyelesaian pembangunan mampan.


Tema Kesejahteraan

SDSN komited dalam mempamerkan penyelesaian paling berkesan dalam perkara berkaitan SDG di Malaysia. Justeru, NSF menyasar untuk:

1. ‘Merakyatkan’ SDG dan mencetus inspirasi pemilikan serta tindakan di peringkat tempatan.
2. Mengiktiraf dan menyerlahkan penyelesaian berinovasi serta kesannya terhadap SDG.
3. Memupuk kerjasama antara pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.
4. Menggalakkan penyelesaian berinovasi secara meluas di pelbagai lokasi.
5. Memajukan laluan dan hala tuju bagi penyelesaian pembangunan mampan dan membuktikan bahawa penyelesaian ini berupaya menangani cabaran berkaitan SDG.

Tema bagi NSF 2022 adalah Kesejahteraan di mana ia turut mencakupi aspek keselesaan, kesihatan, kegembiraan.

Apabila berkaitan SDG pula, ia merujuk kepada kesejahteraan manusia dan juga planet.

Pengurangan kemiskinan merupakan antara bidang sasaran inisiatif penyelesaian dalam usaha pembangunan mampan.

Justeru, inisiatif penyelesaian merangkumi pelbagai bidang di mana antaranya termasuk pengurangan kemiskinan, peningkatan keselamatan dan nutrisi makanan, kualiti dan kesamarataan pendidikan, peningkatan kesihatan, kesamarataan jantina, serta penghubungan budaya.


Geran dana projek

Sembilan inisiatif penyelesaian yang diketengahkan bakal menerima Geran Dana Projek tajaan Sunway berjumlah RM10,000 bagi setiap projek.

Manakala, bagi inisiatif penyelesaian terunggul antara sembilan projek yang dikemukakan akan menerima tambahan tajaan bernilai RM10,000.

Inisiatif ini menawarkan peluang kepada SDSN Malaysia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam melaksanakan penyelesaian khusus setempat.

Untuk maklumat lanjut berkaitan NSF atau penyerahan inisiatif penyelesaian, sila layari laman web di sdsn.org.my/nsf2022/.