SEA-PLM: Pencapaian murid kekal stabil dalam domain bacaan, matematik

Mohd Azam berkata bagi domain Bacaan, Malaysia merekodkan skor melepasi purata serantau 300 mata, dengan penurunan kecil sebanyak lima mata berbanding penilaian SEA-PLM 2019. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pencapaian murid Malaysia dalam pentaksiran serantau Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) kekal stabil dengan kedua-dua domain Bacaan dan Matematik masing-masing merekodkan skor melebihi purata serantau, meskipun mencatat sedikit penurunan berbanding pusingan penilaian pertama.
Ringkasan AI
- Pencapaian murid Malaysia dalam SEA-PLM menunjukkan kestabilan dengan skor Bacaan dan Matematik melebihi purata serantau, walaupun mengalami sedikit penurunan berbanding pusingan sebelumnya.
- Kohort murid yang terlibat dalam SEA-PLM 2024 menghadapi gangguan pembelajaran akibat PdPR semasa PKP, tetapi masih menunjukkan kemahiran literasi yang kompetitif.
- Intervensi bersasar perlu dilakukan oleh Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kemahiran Matematik murid, dengan penekanan terhadap jurang pencapaian antara pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan tinggi.
"Ini bermakna secara keseluruhan, murid Malaysia berada pada tahap literasi membaca yang kompetitif walaupun menghadapi gangguan pembelajaran.
"Ini menunjukkan asas numerasi murid Malaysia masih kukuh secara relatif, walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam pemulihan pembelajaran," katanya ketika membentangkan keputusan SEA-PLM 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata kohort yang mengambil bahagian dalam SEA-PLM 2024 ialah murid yang lahir pada 2013, dan menyifatkan kohort itu unik kerana murid menjalani PdPR (proses pengajaran dan pembelajaran di rumah) selama hampir dua tahun ketika berada di Tahun 1 dan Tahun 2, iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dari 2020 hingga 2021.
"Gangguan pembelajaran pada awal fasa persekolahan ini merupakan faktor besar yang mempengaruhi penguasaan kemahiran asas mereka dan menjadi konteks penting untuk mentafsir dapatan SEA-PLM dengan tepat," katanya.
Mohd Azam berkata trend yang direkodkan membantu Kementerian Pendidikan (KPM) merangka intervensi lebih bersasar bagi memastikan murid bukan sekadar pulih, malah mampu meningkatkan kemahiran Matematik ke tahap lebih tinggi.
SEA-PLM yang dijalankan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil adalah pentaksiran serantau anjuran Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), melibatkan tujuh negara ASEAN termasuk Timor-Leste.
SEA-PLM 2024 menilai pencapaian 4,379 murid Tahun 5 daripada 158 sekolah dalam empat domain utama, namun bagi pusingan kali ini, dapatan hanya melibatkan domain Bacaan dan Matematik.
Mengulas pencapaian mengikut band aras penguasaan, beliau berkata sebanyak 69 peratus murid mencapai Band 5 dan ke atas bagi domain Bacaan, yang disifatkan sebagai pencapaian baik, termasuk satu pertiga murid daripada keluarga berstatus sosioekonomi (SES) rendah.
Bagi domain Matematik pula, sebanyak 74 peratus murid mencapai Band 5 dan ke atas, sekali gus menunjukkan trend penguasaan asas numerasi yang semakin positif.
"Ini menunjukkan inisiatif yang dilaksanakan oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah telah menampakkan implikasi positif," katanya.
Antara inisiatif berkenaan ialah pembangunan kapasiti guru, program pemulihan khas, program baca bersama serta program literasi dan numerasi sekolah rendah.
Dari segi jantina, Mohd Azam berkata pencapaian murid perempuan masih mengatasi murid lelaki dalam domain Bacaan, namun jurang semakin mengecil daripada sembilan mata pada 2019 kepada tujuh mata pada 2024.
Katanya, bagi Matematik pula, tiada jurang pencapaian antara murid lelaki dan perempuan direkodkan, malah murid lelaki mencatat peratusan lebih tinggi bagi Band 8 dan 9 berbanding murid perempuan.
Beliau berkata jurang berdasarkan status sosioekonomi kekal sebagai cabaran utama apabila perbezaan ketara direkodkan antara murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggi, iaitu jurang 23 mata bagi Bacaan dan 26 mata bagi Matematik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


