GEORGE TOWN: Sebahagian besar kes COVID-19 di negeri ini adalah dari kilang dan tapak pembinaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo, hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan menjalankan pemantauan secara konsisten di premis berkenaan di seluruh negeri dan telah mengambil tindakan tegas bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut Jagdeep sehingga bulan ini Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja terhadap lima tapak pembinaan ekoran pengesanan kes COVID-19.

"Tiga daripada tapak pembinaan itu terletak di Daerah Timur Laut dan dua lagi di Daerah Barat Daya," katanya kepada pemberita di Dewan Sri Pinang di sini.

Katanya premis lain seperti kilang dan pasar akan ditutup sekiranya terdapat sekurang-kurangnya satu kes COVID-19.

"Melihat pada jumlah kes COVID-19 yang tinggi direkodkan Pulau Pinang semalam, kerajaan negeri perlu meningkatkan usaha dan melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih ketat, demi kesihatan dan keselamatan umum," tambahnya.

Semalam Pulau Pinang mencatatkan 2,474 kes COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 100,906 kes di negeri ini.

Terdahulu, Fasa Dua program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) dilancarkan di Pulau Pinang hari ini, yang menyasarkan vaksinasi kepada seramai 5,200 penjaja dan peniaga berlesen di seluruh negeri hingga 12 Sept (Ahad) ini.

Penjaja dan peniaga berlesen boleh mendaftar lebih awal untuk janji temu vaksinasi atau memilih secara jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin yang dikhaskan iaitu di Dewan Sri Pinang, George Town atau Dewan Dato Haji Ahmad Badawi, Butterworth.

-- BERNAMA