KUALA LUMPUR: Sebanyak 100,904 atau 97.53 peratus pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selesai mengisytiharkan harta masing-masing bagi memperkukuh tahap tata kelola dan integriti pasukan keselamatan itu.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata selain pengisytiharan harta, sebanyak 105,536 atau 98.7 peratus warga aktif ATM di seluruh negara juga telah menyempurnakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah.
Beliau berkata kefahaman warga ATM mengenai perkara tersebut turut disokong melalui penerapan modul integriti yang melibatkan 4,240 warga di 26 pusat latihan.
"Saya sendiri telah mengisytiharkan harta sebelum ini, namun apabila menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera saya isytiharkannya sekali lagi, dan arahan sama turut diwajibkan kepada semua panglima perkhidmatan serta pegawai kanan.
"Bagi jawatan kritikal yang berisiko tinggi seperti bahagian perolehan dan pengurusan kewangan, pihak ATM melaksanakan inisiatif penggiliran penugasan secara berkala setiap 18 bulan bagi mencegah sebarang ruang kelemahan yang boleh mendedahkan kepada risiko ketirisan," katanya dalam temu bual khas sempena Hari ATM ke-93, di sini.
Mengulas lanjut, Malek Razak berkata ATM juga memperkasakan instrumen pengurusan risiko melalui penguatkuasaan Pelan Tindakan Pembanterasan Rasuah ATM 2026-2030, pembangunan Pelan Integriti dan Antirasuah serta Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).
Beliau berkata dari segi mekanisme semak dan imbang, pihak ATM secara tegas melaksanakan Audit Pengurusan Standard ATM (SATM) serta siri audit tidak berjangka bagi memastikan tadbir urus yang melibatkan aset, kewangan, keselamatan dan sumber manusia sentiasa telus.
"Langkah ini amat kritikal dengan setiap penemuan audit mesti disusuli dengan tindakan korektif dan penambahbaikan serta-merta," katanya.
Selain itu, beliau berkata pemantauan tata kelola itu turut dipantau rapat oleh Unit Integriti Kementerian Pertahanan serta Jabatan Inspektor Jeneral di peringkat Markas ATM.
Beliau menegaskan pematuhan tata kelola itu sangat mustahak bagi memastikan tahap kepercayaan masyarakat terhadap kewibawaan ATM tidak luntur, selari dengan nilai 'Tatakelola Tuntas' yang menjadi teras pasukan keselamatan tersebut.
Langkah pemutihan itu juga adalah bagi membersihkan imej pasukan daripada isu integriti sebelum ini, bersesuaian dengan kematangan ATM yang menjangkau usia 93 tahun menjadi benteng pertahanan negara pada sambutan ulang tahun hari ini.
Sementara itu, bersempena dengan sambutan ulang tahun yang bertemakan ‘Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara’, pasukan itu akan menganjurkan Karnival Hari ATM 2026 pada 19 dan 20 Sept ini.
Karnival yang dijadual berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak itu akan dimeriahkan dengan pelbagai program termasuk pameran aset dan demonstrasi keupayaan khas untuk disaksikan orang ramai.
-- BERNAMA