KUALA LUMPUR: Seramai 80 mangsa penipuan skim pelaburan menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan segera terhadap sebuah syarikat pelaburan yang sebelum ini berpangkalan di Kedah kerana telah memperdaya dan menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM11 juta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata kesemua mangsa yang kebanyakannya berasal dari Muar, Johor, Perlis dan Kedah telah membuat laporan polis sejak Mac lepas hingga bulan ini, namun masih belum ada sebarang tindakan.

"Syarikat tersebut kurang dikenali, namun mempunyai cawangan di beberapa negeri antaranya di Johor, Melaka, Kedah dan Perlis yang menawarkan program menyewakan hartanah kepada pelabur-pelabur dengan pulangan dividen lumayan dalam tempoh 45 hari.

"Pada peringkat awal syarikat itu membayar dividen seperti yang dijanjikan, namun selepas mangsa-mangsa menambah pelaburan, syarikat terlibat mula mengelak dan tidak membayar keuntungan, malah ibu pejabatnya di Kedah serta beberapa lagi cawangan turut menghentikan operasi kecuali di Perlis," katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, kesemua mangsa hadir di perkarangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) hari ini dengan menaiki bas dari Muar, Kedah dan Perlis untuk menyerahkan surat permohonan bagi mengetahui perkembangan semasa berkenaan kes itu.

Hishamuddin bersama wakil mangsa turut mengadakan pertemuan tertutup bersama Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan difahamkan sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka berhubung kes itu.

Ramli ketika dihubungi mengesahkan telah menerima lebih 80 laporan polis berhubung kes itu yang dianggar melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Sementara itu, seorang jurutera sebuah syarikat pembinaan di Kedah yang mahu dikenali sebagai Razak, 45, berkata dia terpaksa berputih mata selepas semua wang simpanannya dalam Sijil Simpanan Premium (SPP) dan Amanah Saham Bumitputera (ASB) lebih RM500,000 lenyap sekelip mata akibat terpedaya dengan syarikat itu.

Razak mendakwa dia pada mulanya diyakinkan akan mendapat keuntungan berkali ganda dalam tempoh yang singkat jika melabur dengan syarikat terlibat yang menawarkan pulangan dividen sebanyak RM540 bagi satu lot pelaburan bernilai RM3,600.

"Setelah berkeyakinan, saya keluarkan semua simpanan ASB dan SPP dan tambah lagi jumlah pelaburan kepada 160 lot dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM546,000 pada Okt 2020 sebelum syarikat itu menghentikan operasi," katanya yang mendakwa turut mengalami tekanan perasaan berikutan kes itu.

Seorang lagi mangsa yang hanya merupakan pesawah Mohd Johari Ismail, 45, mengalami kerugian lebih RM20,000 wang simpanan selepas dipengaruhi oleh anak saudara yang kebetulan bekerja sebagai ejen pemasaran di syarikat yang sama pada 2021.

"Saya telah berkali-kali ke syarikat berkenaan mendesak mereka membayar semula modal, namun pihak syarikat hanya memberi RM50 ke RM100 untuk tidak menimbulkan kekecohan di pejabat, malah mengugut memanggil polis jika enggan beredar," katanya yang berharap wang tersebut dapat diperoleh semula untuk menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.

-- BERNAMA