KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha dalam menangani isu maklumat dan berita palsu dalam kalangan rakyat terutama di media sosial.

Jelasnya, antara usaha itu adalah dengan menubuhkan portal Sebenarnya.my pada 2017 yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kewujudan berita palsu dalam medium komunikasi akan menyekat masyarakat daripada berkomunikasi dan mengurangkan keupayaan komuniti untuk terlibat dalam wacana produktif.

"Sebenarnya.my ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 2017 sebagai laman web semakan fakta yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai sumber kerajaan yang boleh dipercayai.

"Ia untuk orang ramai mengesahkan maklumat yang mereka terima melalui skrin mereka," katanya.

Tambahnya, Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peningkatan maklumat salah dan berita palsu yang sukar dibendung dalam dunia tanpa sempadan.

Lebih lagi apabila pandemik COVID-19, telah mengubah cara masyarakat berkomunikasi yang lebih menuntut penggunaan sosial media dan internet.

Mengulas lanjut ujarnya, cabaran turut dihadapi oleh pengamal media apabila transformasi digital berlaku.

"Pengamal media akan bersetuju dengan saya bahawa pendigitalan telah mencabar kod etika kewartawanan secara berterusan.

"Adakah kita akan menyiarkannya sebelum mendapat semua sisi cerita? Adakah kita mengulangi apa yang dikatakan oleh orang lain tanpa pengesahan? Sekiranya kita tidak menerbitkannya sekarang, adakah kita akan kehilangan pembaca dan penonton kita? Adakah beretika untuk menulis asas cerita pada teks (aplikasi) WhatsApp?" ujarnya lagi.

"Adakah gambar itu dihantar (untuk disunting di) Photoshop? Adakah kita masih akan menyiarkannya? Adakah ia betul dari segi moral? Ini adalah soalan-soalan yang sering ditanya oleh pengamal media yang beretika," katanya lagi.

Annuar berkata demikian dalam ucapan rasminya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) K-KOMM Mastura Ahmad Mustafa dalam Forum Hari Kebebasan Akhbar Sedunia: Kewartawanan Dalam Tawanan Dunia Digital secara maya pada Rabu.