Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Sebutan kes inkues Zara Qairina jam 9 pagi esok - Peguam

Sinar Harian 17/08/2025 | 08:10 MYT
Mahkamah Kota Kinabalu menetapkan sebutan inkues berhubung kes kematian Zara Qairina diadakan pada jam 9 pagi Isnin. (Gambar kecil: Hamid Ismail)
KOTA KINABALU: Mahkamah Kota Kinabalu menetapkan sebutan inkues berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13, akan diadakan pada jam 9 pagi Isnin.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Kota Kinabalu menetapkan sebutan inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir pada 18 Ogos 2025 jam 9 pagi.
  • Inkues bertujuan menyiasat punca kematian termasuk kemungkinan unsur jenayah atau buli.
  • Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah agama di Papar dan meninggal dunia keesokan harinya.


Peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, memaklumkan perkara itu kepada Sinar Harian pada Ahad.

“Sebutan kes inkues ditetapkan esok pada jam 9 pagi di Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya.

Ditanya sama ada prosiding inkues akan bermula segera, beliau menjelaskan bahawa tarikh tersebut hanyalah untuk sebutan kes.

Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina, termasuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa, selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Bagaimanapun, pasukan peguam pada Khamis lalu turut mencadangkan supaya inkues dijalankan serentak dengan siasatan yang menjurus kepada unsur buli yang dialami mangsa sebelum kematiannya.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas termasuk di media sosial, apabila ia dikaitkan dengan dakwaan perbuatan buli di sekolah berkenaan. -Sinar Harian








#Zara Qairina Mahathir #Mahkamah Kota Kinabalu #buli #inkues