ISKANDAR PUTERI: Amerika Syarikat (AS) bersedia memberikan bantuan kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, kata Duta AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.

Kagan, yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban dalam insiden 17 Mei, menyatakan bahawa tragedi ini adalah peringatan bahawa AS dan Malaysia berkongsi kepentingan dalam memerangi keganasan dan tidak boleh berasa terlalu selesa.

"Insiden ini adalah sesuatu yang berpotensi berlaku di banyak tempat di seluruh dunia. Kami (AS) tetap berjaga-jaga dan berhati-hati terhadap orang yang memasuki negara kami, dan kami akan terus berbuat demikian.

Dalam insiden pada 17 Mei, dua anggota polis - Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 - telah dibunuh oleh seorang penyerang tunggal yang kemudian ditembak mati. Seorang lagi anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.

"Walau bagaimanapun, insiden ini tidak menghalang minat pelabur atau menyebabkan perubahan ketara bagi rakyat Malaysia untuk melancong ke AS," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara semasa lawatannya ke ibu pejabat Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar baru-baru ini.

Sebaliknya, AS ingin menguatkan lagi hubungan keselamatan, ekonomi dan pendidikan yang kukuh dengan Malaysia sejak dahulu lagi.

Dalam usaha memperkukuhkan keselamatan maritim dan mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau, Washington sebagai contoh boleh bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kata Kagan dalam lawatan sulungnya ke Johor sejak pelantikannya secara rasmi sebagai Duta AS ke Malaysia pada 20 Mac.

Semasa lawatan ke Johor, duta itu turut menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kagan berkata kedua-dua negara juga mempunyai hubungan antara rakyat yang kuat dengan lebih 5,000 pelajar Malaysia kini menuntut di universiti-universiti AS.

Beliau berkata kira-kira 700 rakyat Malaysia juga pernah belajar di sekolah menengah AS, dan lebih 1,000 rakyat Malaysia telah belajar di bawah program Fulbright AS yang bertujuan meningkatkan hubungan antara budaya, diplomasi budaya dan kompetensi antara budaya antara rakyat AS dan negara lain.

"Saya fikir kami juga bersemangat untuk menyokong lebih banyak pertukaran pendidikan dan saya ingin melihat, selain rakyat Malaysia terus belajar di AS, lebih ramai rakyat Amerika datang ke sini.

Saya fikir terdapat potensi sebenar untuk menggalakkan golongan muda Amerika dan pelajar universiti Amerika untuk mempertimbangkan belajar di luar negara (seperti) di Malaysia," katanya.

Sementara itu, mengenai konflik di Gaza, Kagan berkata AS mengakui betapa kuatnya perasaan rakyat Malaysia terhadap apa yang berlaku di Gaza.

Washington juga berkongsi kebimbangan dan perspektif yang sama, menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata bagi memastikan keamanan dan memudah cara penghantaran bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata, Amerika Syarikat baru-baru ini menyiapkan sebuah jeti terapung yang kini memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ini telah membolehkan kemasukan bertan-tan bantuan dihantar menggunakan trak.

"Ia tidak mencukupi, tetapi kami percaya ini adalah langkah jelas ke arah yang betul untuk menyokong rakyat Gaza pada masa ini. Pada masa yang sama, kami telah menjelaskan kepada Kerajaan Israel dan kerajaan lain di rantau itu tentang kepentingan mengambil langkah untuk melindungi orang awam dan mencapai gencatan senjata," katanya.

Ditanya mengenai kempen boikot rakyat Malaysia terhadap jenama AS yang menyokong Israel, Kagan berkata AS mengiktiraf hak untuk protes aman sebagai sebahagian daripada proses demokrasi tetapi beliau merasakan bahawa tindakan yang lebih berkesan boleh diambil untuk mempertahankan nasib rakyat Palestin.

"Pada pandangan kami, ia perlu menyentuh tentang keberkesanan. Bagaimana anda memajukan perjuangan rakyat Palestin, bagaimana anda menyokong kesejahteraan mereka," katanya

-- BERNAMA