Skip to main content

Malaysia

Johor komited bantu rakyat menerusi Jualan Kasih Johor, manfaatkan 6.59 juta rakyat

Jualan Kasih Johor, ASTRO AWANI
Jualan Kasih Johor bukan sahaja menawarkan penjimatan sehingga RM5 bagi barangan keperluan asas, malah turut menyediakan set kombo ayam seekor, minyak masak dua liter dan telur sepapan pada harga hanya RM15. - Foto/ Ihsan Pejabat Exco

MERSING: Kerajaan Negeri Johor terus komited menyantuni rakyat serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup menerusi pelaksanaan program Jualan Kasih Johor.

Inisiatif yang diperkenalkan pada 2023 itu bermula dengan 62 lokasi di seluruh negeri, sebelum berkembang kepada lebih 1,700 lokasi setakat ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM72.12 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, program berkenaan diteruskan hasil kerjasama strategik bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor.

Image
Jualan Kasih Johor, ASTRO AWANI
Jualan Kasih Johor bagi bulan Mei dan Jun 2026 diteruskan dengan sasaran sebanyak 750,200 keluarga melibatkan lebih 3 juta penerima manfaat di seluruh 400 lokasi

Menurut beliau, Jualan Kasih Johor bukan sahaja menawarkan penjimatan sehingga RM5 bagi barangan keperluan asas, malah turut menyediakan set kombo ayam seekor, minyak masak dua liter dan telur sepapan pada harga hanya RM15.

"Dalam Persidangan Dewan Negeri Johor baru-baru ini, Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) telah mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi memperluaskan pelaksanaan Jualan Kasih Johor.

"Pelaksanaan Jualan Kasih Johor bagi bulan Mei dan Jun 2026 diteruskan dengan sasaran sebanyak 750,200 keluarga melibatkan lebih tiga juta penerima manfaat di seluruh 400 lokasi.

"Sambutan yang begitu menggalakkan ini memberi keyakinan bahawa inisiatif seperti ini akan terus ditambah baik dan diteruskan pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, untuk memastikan kesinambungannya, kita memerlukan mandat dan sokongan berterusan daripada rakyat Johor kepada kerajaan negeri serta Menteri Besar bagi meneruskan pentadbiran dan kepimpinan demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika ditemui pada Jualan Kasih Johor di Pasar Tani Kekal Mersing di sini, hari ini.

Jelas Zahari, istimewanya kali ini, kuantiti Set Kombo Kasih RM15 akan ditawarkan dalam jumlah yang lebih besar di setiap lokasi.

Katanya secara keseluruhannya, bagi pelaksanaan Jualan Kasih Johor untuk bulan Mei dan Jun 2026, lebih 750,000 Set Kombo Kasih akan disediakan kepada rakyat Johor.

Image
Jualan Kasih Johor, ASTRO AWANI
Datuk Zahari Sarip ketika menghulurkan barangan kepada pengunjung yang hadir ke Jualan Kasih Johor di Pasar Tani Kekal Mersing.

"Di kawasan luar bandar contohnya daerah Segamat, Mersing, Muar dan Kota Tinggi kita ada lebih kurang 12,000 set jualan kasih Johor. Manakala kawasan bandar seperti Johor Bahru dan Kulai kita ada 20,000 set kombo ini.

"Sebelum ini bila kita hantar jumlah yang sama banyak, ada kawasan luar bandar jualan tidak habis dan ada kawasan bandar jualan tidak cukup, dengan cara ini kami harap akan selesaikan isu penggagihan pengguna.

"Satu lokasi luar bandar akan terima 1,000 hingga 2,500 set kombo. Manakala kawasan bandar akan menerima 2,500 ke 5,000 set kombo,"katanya.

Must Watch Video