KOTA KINABALU: Sambutan ibu bapa terhadap pemberian vaksin kepada kanak-kanak masih rendah di Sabah meskipun sebanyak 255 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah pun dibuka di negeri itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata PPV berkenaan terdiri daripada klinik dan hospital kerajaan, mahupun swasta.

"Pemberian vaksin juga diadakan di sekolah malah JKNS juga ke kawasan luar seperti pulau dan hutan (pedalaman) serta terbuka juga kepada setiap jabatan, jika memerlukan vaksin sila maklumkan kepada JKNS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran bilik laktasi yang pertama di Sabah dan merasmikan mesyuarat pertama Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKKSI) di Dewan KPLB di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun dilaporkan berkata seramai 73,545 atau 17.88 peratus kanak-kanak telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

BACA: COVID-19: Kes baharu di Sabah menurun, tiga kluster tamat

Dr Rose Nani berkata ibu bapa perlu peka mengenai pemberian vaksin terhadap anak-anak mereka sebagai perlindungan daripada virus COVID-19 apabila menjelang waktu persekolahan nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata pemberian vaksin dan booster dalam kalangan orang dewasa berjaya menurunkan jumlah kes kematian, selepas mencapai kadar 75 peratus status vaksinasi di negeri itu pada Disember tahun lepas.

Mengenai program itu, katanya bilik laktasi berkenaan adalah hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah untuk kemudahan kakitangan kementerian itu.

"Usaha berkenaan perlu dicontohi oleh setiap kementerian mahupun agensi swasta untuk memberi kemudahan kepada ibu-ibu yang bekerja, agar dapat menyusukan bayi masing-masing," katanya.

Beliau berkata JKNS bersedia untuk memberi bantuan dari segi nasihat dan teknikal, melalui projek tanggungjawab sosial korporat bersama kementerian mahupun agensi yang mewujudkan bilik laktasi, sekali gus menyokong usaha JKNS menggalakkan penyusuan susu ibu untuk tumbesaran generasi akan datang.

-- BERNAMA