KUALA LUMPUR: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Segamat, Johor; Cheras, Kuala Lumpur; Kota Bharu dan Tanah Merah, Kelantan, mencatatkan bacaan tidak sihat setakat jam 12 tengah hari ini.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar IPU Segamat mencatatkan bacaan 152, Kota Bharu 108, Cheras 107 dan Tanah Merah 102.

Bacaan IPU di keempat-empat kawasan meningkat berbanding 151 (Segamat), 113 (Kota Bharu) dan 100 (Tanah Merah dan Cheras) yang dicatatkan pada jam 10 pagi tadi.

Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Setakat jam 12 tengah hari, 63 stesen mencatatkan bacaan sederhana sementara satu stesen mencatatkan bacaan baik iaitu di Tawau, Sabah.