KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera memperkenalkan perlindungan keselamatan sosial Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) akibat kemalangan.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, SKBBK perlu dilaksanakan 24 jam sehari tanpa terikat kepada aktiviti pekerjaan dan penggajian pekerja.

Mohd Effendy menjelaskan golongan pekerja di negara ini telah lama menantikan pelaksanaan SKBBK kerana ia memberikan perlindungan komprehensif.

SKBBK juga jelas beliau menyediakan pelbagai faedah antaranya perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan kemudahan pemulihan fizikal dan vokasional.

"MTUC amat cakna akan nasib pekerja yang membuat tuntutan faedah Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kerap ditolak atas sebab kemalangan dialami tidak berkaitan dengan pekerjaan dan tidak diliputi di bawah akta.

"Berdasarkan statistik Perkeso lebih daripada 26,000 kes tuntutan permohonan faedah Akta 4 telah ditolak Perkeso sejak tahun 2011 disebabkan kemalangan yang bukan bencana kerja ini.

"Kebarangkalian angka ini lebih besar jumlahnya kerana pekerja tidak mengemukakan tuntutan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Effendy memaklumkan SKBBK merupakan penambahbaikan kepada skim sedia ada dan dapat merapatkan jurang perlindungan keselamatan sosial pekerja di negara ini.

Jelas beliau, perlindungan SKBBK telahpun wujud di negara-negara maju seperti New Zealand, Amerika Syarikat, dan Kanada.