ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan diminta menyegerakan kelulusan permohonan kos tambahan bagi membina Loji Rawatan Air (LRA) agar dapat disiapkan mengikut jadual.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan kos kontraktor meningkat berkali ganda susulan berlaku kenaikan harga bahan binaan selepas tender dikeluarkan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kemajuan projek menjadi sedikit perlahan akibat masalah kewangan kontraktor yang dilantik.

“Selepas tender dibuka pada tahun 2020 dan dinilai oleh jawatankuasa tender, dibawa ke peringkat Persekutuan sama ada pinjaman atau geran untuk dapatkan kebenaran Persekutuan sebelum keputusan akhir.

“Kontraktor yang berjaya dalam tender bukan lantikan terus, ia dipilih melalui proses yang dikehendaki oleh kaedah perolehan.

“Selepas tender dianugerahkan, berlaku peningkatan harga bahan binaan antara 40 hingga 70 peratus menyebabkan kos pembinaan LRA meningkat puluhan juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Sanusi berkata, perkara itu dalam pengetahuan semua pihak dan perlu dipertimbangkan kerajaan Persekutuan kerana ia bukan hanya melibatkan Kedah tetapi semua negeri.

“Bukan disebabkan kelemahan kontraktor atau kerajaan negeri tak pantau projek, ia berlaku kerana kenaikan harga yang bukan dalam kawalan kita.

"Kenaikan sehingga 70 peratus menjadi beban kontraktor, jadi mereka mohon kos tambahan operasi (VOP) untuk menilai semula beberapa item dalam pembinaan, khususnya besi meningkat tiga kali ganda. Ini yang melambatkan pembinaan dan luar bidang kuasa negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mengatakan masalah bekalan air bersih di Kedah di tahap kronik.

Dalam lawatan kerja ke LRA Bukit Selambau pada Jumaat, Akmal Nasrullah mendakwa masalah itu berpunca daripada isu pengurusan air tidak terhasil (NRW) yang tinggi serta kapasiti LRA tidak mencukupi selain berlaku kelewatan.

Dakwa beliau, LRA di Bukit Selambau sepatutnya siap pada 2023 namun sub kontraktor baharu sahaja dilantik pada bulan lalu.

Sanusi memberitahu, kontraktor LRA Plubang mengalami kenaikan kos sehingga RM100 juta berikutan kenaikan harga bahan binaan, namun tetap meneruskan pembinaan atas kapasiti syarikat tersebut.

“LRA Plubang walaupun pinjaman RM431 juta. Mereka usaha sendiri dan buat permohonan kelulusan baharu dan kita sokong kerana kita faham masalah yang mereka hadapi.

“Bukan sebab kita lemah sehingga projek tidak dapat disiapkan ikut jadual, ada sebab munasabah yang patut diberikan pertimbangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi tidak menyalahkan Akmal yang mungkin tidak mendapat maklumat sebenar.

“Ucapan beliau tular berkaitan kenyataan negatif sahaja, sepatutnya kenyataan Akmal yang cakap benda betul patut disiarkan juga. Jadi tak payahlah cakap saya sudah baik. Kenapa kamu tak urus dengan baik?

“Tak betul cakap macam tu walaupun tak bermaksud begitu. Tak patutlah kali pertama datang, cari pasal kan elok benda negatif dibuat teguran dalam mesyuarat. Kalau tegur secara terbuka dan tular beri tanggapan Kedah lemah tak reti mengurus, dah bagi duit tak reti nak atur projek,” ujarnya.

Sanusi memaklumkan, terdapat dua projek naik taraf LRA mengalami kemajuan projek perlahan iaitu LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau, namun tidak begitu ketara daripada jadual asal pembinaannya.

“Kontraktor pun ada pelan kontingensi untuk pastikan projek dapat disiapkan. Untuk dapatkan VOP pertama pun masa diambil setahun lebih. Macam mana kontraktor nak teruskan, nafas semput barang mahal jadi kalau cepat diluluskan permohonan LRA akan pantas,” jelasnya lagi.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu projek yang tergesa-gesa disiapkan kelak tidak mengikut spesifikasi ditetapkan akibat peningkatan kos.

“Ada projek kerajaan lantik kontraktor penyelamat sebab kontraktor asal yang menang tender tak dapat siapkan projek. Ada yang siap tak ikut spesifikasi sebab kos rendah hingga ada bumbung stadium atau makmal komputer runtuh. Akhirnya keselamatan terabai.

“Kita tak mahu berlaku macam itu. Kita nak LRA siap ikut spesifikasi ditentukan dengan harga yang dipertimbangkan semula akibat peningkatan kos binaan,” katanya.

Sanusi turut menempelak Akmal kerana tidak menjemput wakil kerajaan negeri dalam lawatan kerja ke tapak LRA, namun hanya menjemput wakil operator, iaitu Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Kita ada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Exco Bekalan dan Sumber Air atau Setiausaha Kerajaan Negeri, namun wakil negeri tidak dilibatkan, bila tak ada jawapan buat kenyataan mengarut konon bekalan air Kedah kronik.

“Jumpa lah kita, baru kita boleh perjelas situasi sebenar, bukan beri gambaran seolah negeri ini terlalu teruk. Politik tak habis-habis, cukuplah,” katanya. - Sinar Harian