KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak perlu dipercepatkan.

Titah Al-Sultan Abdullah, pembangunan itu harus disegerakan bagi menjadikan dua negeri tersebut sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke wilayah Kalimantan.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik usaha kerajaan membangunkan projek infrastruktur rel mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru - Singapura dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3).

Titah Seri Paduka Baginda, projek-projek strategik sebegitu akan memberi keselesaan, ketersambungan ke pelbagai lokasi dan bakal menghasilkan limpahan pembangunan ke semua wilayah dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Pembangunan rangkaian keterhubungan dan kebolehcapaian jaringan jalan raya sedia ada juga hendaklah terus dilaksanakan.

“Beta mengalu-alukan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 yang telah dirangka untuk mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan raya bagi melengkapkan sistem jaringan perhubungan yang lebih baik.

“Projek pembinaan lebuh raya seperti Central Spine Road (CSR), West Coast Expressway (WCE), Sarawak-Sabah Link Road dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak bakal memacu pembangunan wilayah serta pertumbuhan ekonomi setempat,” titah Baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah berharap kerajaan menumpukan usaha dalam membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan.

“Semua pihak hendaklah menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka Baginda yang bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di sini, pada Isnin juga mahu penguatkuasaan yang berterusan berkaitan kos sara hidup perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik.

“Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.

“Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat Beta untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang berpatutan,” titah Baginda lagi.