TATKALA seorang manusia itu dilahirkan ke muka bumi, barang pasti dia diberikan nama. Nama yang baik-baik dengan harapan ia membawa rahmat dan semangat nama itu menjalani hayatnya dengan sejahtera.

Muhammad, Ahmad, Aminah, Fahmi, Zaitun, Fakri, Mustaqim, Ros, Ayop, Saadiah, Talib - semuanya membawa makna yang baik.

Apa pun bangsa dan bahasanya, tiada anak yang diberi nama buruk (mungkin ada beberapa kes terpencil, entah kenapa).

Tiada benda yang tidak bernama atau berpanggilan. Nama adalah perkara pertama dan paling utama dalam kehidupan, sebagai wadah pengenalan jasad yang membawanya melangkah di dalam kehidupan ini.

Nama diberikan oleh akal manusia yang berfikir dan diilhamkan Tuhan, berdasarkan tanggapan terhadap rupa bentuk dan sifat sesuatu benda atau makhluk itu.

Nama yang baik, sifatnya baik. Nama yang buruk mengiyakan rupa bentuknya itu yang kurang elok. Nama dipanggil, diucap dengan kata. Kata itu doa. Manis kata, manislah doanya. Elok nama, moga eloklah jadinya.

Maka oleh hal demikian, itulah sebabnya nama adalah sesuatu perihal yang tidak patut dipandang ringan. Mungkin sesetengah bertanggapan bahawa nama adalah sekadar panggilan, tapi ketahuilah bahawa sesungguhnya ia lebih daripada itu.

Dalam hal ini, biasa kita lihat atau dengar perubahan nama itu sering berlaku, lazimnya oleh institusi-institusi kerajaan.

Asal ada rombakan struktur, namanya diubah untuk memberi ‘nafas baharu’, supaya lebih sedap disebut dan didengar, atau apa saja alasannya.

Asalnya, kementerian berkenaan kebudayaan dan kesenian berakar daripada sebuah bahagian di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat pada 1953, kemudian ia dipindahkan ke Kementerian Penerangan pada 1964.

Ekoran konflik 13 Mei 1969, dua tahun selepas itu ia menjadi sebuah kementerian penuh, dengan nama Kementerian Belia dan Sukan. Pada 1987, komponen kebudayaan digandingkan pula dengan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia menjadi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Pada 1992, untuk kesekian kalinya ia bertukar, diberi nama baharu iaitu Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Kemudian tukar lagi, menjadi Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tukar lagi, menjadi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Hinggalah hari ini, nama terbaharunya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; atau akronimnya dalam bahasa Melayu 'KPSB', tapi kerajaan lebih cenderung untuk memanggilnya dalam akronim Inggeris - MOTAC. Entah esok lusa kerajaan bertukar lagi, kementerian itu dirombak lagi, apa pula nama baharunya.

Bayangkan anda asyik silih bertukar nama. Hari ini anda seorang Iqbal, tahun depan jadi Maarof, lusa jadi Shahrom, tiga tahun lagi jadi William.

Malapetaka buat Jabatan Pendaftaran Negara kalau berpuluh juta rakyat Malaysia sekejap-sekejap tukar nama. Orang keliling pun pening untuk mengikuti ‘rentak perkembangan dan evolusi’ nama anda. “Nak jadi apa kau ini sebenarnya?”

Mana pernah kita tetap pendirian? Asal menteri bertukar, dasarnya bertukar, programnya bertukar, pegawainya bertukar, uniformnya bertukar, keretanya bertukar, langsir pejabatnya bertukar, kalau boleh semua benda nak ditukar. Belanjanya entah berapa, ke mana pula perginya.

Hal tukar-menukar itu sudah satu perkara. Tapi perkara yang ingin saya tekankan di sini adalah soal penyusunan nama itu - apa yang di depan, apa yang ditengah dan apa di belakang - yang dalam kes ini mewakili komponen-komponen dalam kementerian tersebut.

Lumrahnya hal apa yang diberi keutamaan diletakkan di hadapan dan yang kurang penting letaknya di belakang. Meletakkan ‘Pelancongan’ di hadapan ‘Budaya’ dan ‘Seni’ pada susunan namanya itu jelas sekali menunjukkan bahawa fokus kerajaan hari ini adalah terhadap usaha dalam aspek pelancongan negara. Tak salah, tapi tak betul.

Sektor pelancongan sememangnya sejak sekian lama menjadi ‘lubuk’ utama pendapatan negara kita, antara penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - dalam erti kata lebih mudah, ia tempat buat duit paling menguntungkan. Duit dari luar masuk.

Pandemik COVID-19 membadai dan membawa malang kepada sektor itu apabila pergerakan terhad sesungguhnya. KDNK merudum apabila aktiviti perlancongan boleh kata sepenuhnya terhenti. Hari ini keadaan sudah sedikit reda, sempadan makin dibuka, ia baru dapat bernafas semula.

Macam-macam benda berlaku di dunia, gaduh sana gaduh sini, mengundang pula resesi. Sedikit baiknya adalah ia tidak menghalang mereka yang ada duit lebih daripada cukup untuk melancong, maka industri pelancongan amatlah diharapkan menjadi talian hayat untuk memberi suntikan kepada kudrat negara mendepani tempoh kegawatan.

Dalam kita mengagau mencari dahan untuk berpaut di waktu genting, kita mungkin melihat pelancongan adalah pokoknya yang diharap dan dijangka dapat menjadi salah satu sandaran utama untuk negara ini hidup dengan sejahtera.

Tapi sedarilah, wahai orang-orang yang 'berselimut', sejahtera itu tidak pada wang ringgit, tetapi diakari dan dihidupkan oleh budaya dan seni.

Seni dan budaya menjadikan seseorang manusia itu manusia, yang lumrahnya mencintai keindahan dan kehalusan. Seni yang benar membawa manusia kembali mengakui kebesaran Penciptanya, menyedari bahawa segala di dunia ini bukan miliknya tetapi dipinjamkan untuk dipulangkan kepada seluruh alam sebagai bakti dalam menjalani fungsinya sebagai 'khalifah' memimpin dunia ini menuju sejahtera.

Kita semua manusia, namun dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa yang berbeza, yang memperkenalkan diri masing-masing dengan kebudayaan dan keseniannya. Dalam mengenal kepelbagaian ciptaanNya ini, kita melawat ke tanah lain untuk mengalami sesuatu yang berbeza daripada diri kita serta segala yang berada dalam ruang lingkup kehidupan yang kita jalani.

Kita ke India misalnya untuk mengalami bagaimana kulinarinya, fesyennya, muziknya, seni binanya, udaranya, orangnya, dan segala macam lagi bentuk manifestasi budaya bangsa India yang terhasil dengan penuh kehalusan. Budaya yang telah berakar sejak ribuan tahun itu menjadi asas yang kemudian menghadirkan kepercayaan spiritual masyarakatnya.

Ajaran Islam datang kepada Muhammad (SAW) setelah baginda empat dekad hidup dalam kerangka budaya Quraisy-nya, Siddharta Gautama beroleh ‘Enlightenment’ atau kesedaran tentang kebenaran hakiki setelah beliau lari dari budaya istana yang menghanyutkan dan membina budaya baharu yang lebih murni, dan Isa (AS) sudah membudayakan pekerti mulia dalam hidupnya sebelum diangkat sebagai al-Masih, penyelamat buat umatnya yang diselubungi dusta.

Tidak menafikan peri pentingnya agama, yang mana ia sebenarnya adalah pelengkap yang menyempurnakan hidup manusia.

Sepertimana sebiji gelas ibaratnya tubuh manusia yang dibentuk dengan budaya dan air diisi ibarat agama.

Jernih bersih kukuh gelasnya, jelaslah bentuk dan rupa air di dalamnya. Retak gelas, berjujuranlah air dikandungnya ke bumi dan lama-lama habis. Rapuh budaya, kosonglah jiwa manusia itu walau sesuci mana agama dianutinya.

Kita memang sudah ada tarian, busana, muzik dan kulinari kita sendiri. Bukan sejenis malah pelbagai macam dek kemajmukan komposisi kaum kita, tak ada di tempat lain kekayaan sebegini.

Namun, kita hanya melihatnya dari sudut astetik atau penampilan luarannya semata-mata, jarang sekali kita mengupas dan memeluk falsafah di sebalik setiap perincian yang mendasari sesuatu aspek tradisi itu.

Kita kelihatan cantik di luar, namun roh kita, budaya sebagai insan mulia itu yang kita sebenarnya masih belum cukup mempesona.

Budaya Melayu mengajarkan santun, budaya Islam juga begitu - kerana itu kedua-duanya bak ruas bertemu buku. Sudah pasti budaya bangsa dan agama lain turut mempunyai falsafah keperibadian murni atau apa yang orang Buddha dan Hindu sebut sebagai ‘dharma’, iaitu jalan hidup sejahtera untuk beroleh kerahmatan.

Tapi sayangnya, masih juga ramai antara kita tidak memegang nilai-nilai yang diajarkan oleh agama yang dianuti.

Sampah masih dibuang merata, walhal segala bangsa mengajarkan tentang nilai kebersihan, kebertanggungjawaban dan keprihatinan.

Cukup kita bicara soal sampah sahaja, kerana apabila hal sekecil menguruskan sampah pun tidak menjadi budaya teras dalam kehidupan seharian kita, patutlah negara ini penuh dengan ‘sampah’.

Tak dikutip, tak dibersihkan, malas, tunggu orang lain yang diupah kutipkan, tiada rasa ihsan dan bertanggungjawab, hingga lama-lama jadi lali dan terbiasa hidup dalam keadaan bergelumang kotor dan busuk.

Sebaliknya yang menjadi budaya adalah hal-hal buruk yang tak perlulah disebutkan satu persatu. Bangkai gajah tak dapat ditutup dengan nyiru, saya kira semua orang sudah tahu. Tapi buat-buat tak tahu. “Malas aku, yang penting duit saja aku mahu.

Hidup makin mahal, takkan hari-hari nak makan tauhu.” Seakan segalanya ‘demi duit’, bukan ‘demi tuhan’ atau ‘lillahita’ala’ yang diungkap dalam setiap solat yang didirikan. Jadilah kita manusia yang mementingkan diri sendiri, sedar atau tidak.

Tiada bangsa yang maju di dunia ini yang tidak berbudaya murni. Maju itu bukan tentang berapa tinggi pendapatan atau berapa besar harta yang kita ada, berapa banyak KDNK dan berapa tinggi bangunan kita - tapi bagaimana cekapnya kita menguruskan segala cabaran dan kompleksiti hidup sebagai manusia bermasyarakat untuk mencapai sejahtera. Masalah adalah sebahagian daripada hidup, tetapi mendepaninya adalah satu seni kehidupan.

Apabila kemurnian menjadi cara hidup, dengan sendirinya segala keindahan kita akan terpancar dan menggamit perhatian orang luar untuk melihat lalu terpanggil untuk datang mengenali kita dengan lebih dekat.

Orang putih kata, “the beauty comes from within.” Maka oleh hal yang demikian, pelancongan itu sebenarnya adalah hasil kemudian atau “by-product” daripada kebudayaan dan kesenian.

Mungkin selama ini mereka yang memegang tampuk kuasa malah seluruh anggota masyarakat bumi bertuah ini melihat hal-hal budaya dan kesenian itu hanya sebagai bentuk hiburan, 'gula-gula' untuk pancaindera.

Sebab itu kita gagal hadir dengan solusi yang jujur dan tulus apabila terlalu mencuba keras ‘menjual diri’ kita. Benda kalau betul cantik, tak perlu “try too hard” untuk tarik perhatian orang. Dan benda yang tak jujur takkan tahan lama, akhirnya kita letih berlaku palsu.

Seharusnya kementerian berkaitan budaya dan seni ini diberi keutamaan sama seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan. Duit itu memang penting, tapi yang berfikir dan bekerja mencari duit itu adalah manusia, dan manusia itu rohnya adalah budaya. Tak salah ada menara tinggi, namun budayanya juga harus teguh kukuh gah melangit sama.

Paradigma harus beranjak, gerak perlu disusun semula - bermula dengan perubahan namanya kepada Kementerian Budaya, Seni dan Pelancongan.  Letakkan ‘budaya’ di depan. MOTAC kepada MOCAT, atau lebih baik KBSP.

Apa guna ada bahasa sendiri kalau tak diguna? Soal namanya di pentas dunia, biarlah mereka di luar yang memikirkan nama apa yang mahu mereka panggil.

Bukan kerja kita untuk melayan segala keperluan dan kehendak mereka. Kita bangsa merdeka, kita mesti buat cara kita.

Tak ‘glamor’ bunyinya? Kalau ‘glamor’ yang terus dipentingkan, payah lah.

* Israr Khalid ialah jurnalis Astro AWANI. Beliau memerhati dan membaca setiap segala kejadian yang berada di sekitarnya dalam mencari kebenaran dan rahsia di sebaliknya.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.