KUANTAN: Orang ramai diminta untuk memahami dan bersabar apabila menghadapi setiap sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama pada musim perayaan.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, walaupun ianya dilihat seperti membebankan tetapi kajian yang dibuat polis mendapati kaedah ini sangat berkesan untuk mengawal pergerakan orang ramai lantas mampu membendung penularan wabak COVID-19.

Masyarakat mempersoalkan tujuan diadakan SJR di Tanjung Lumpur yang berada di dalam daerah Kuantan, padahal sekatan seharusnya diadakan di sempadan daerah atau negeri sahaja.

"Saya tidak nafikan apabila ada SJR ini pergerakan mereka sangat terhad tetapi kita tidak dapat elak.

"Kerana apabila kita isytihar PKP, hasratnya adalah untuk mengekang pergerakan. Kalau tidak orang ramai akan bergerak secara bebas dan ini tidak sampai hasrat kerajaan untuk menyekat pergerakan.

"Kita tidak mahu mereka berkumpul secara ramai atau bebas kerana ini boleh menyebabkan penularan wabak ini dengan cepat," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui melawat anggota keselamatan yang bertugas di SJR Tanjung Lumpur, Kuantan selepas solat sunat Aidilfitri.

Tambah Wan Rosdy lagi, tindakan mengadakan sekatan jalan raya adalah bersifat sementara sahaja namun tidak menafikan andai kes COVID-19 didapati terus meningkat, kemungkinan tindakan tersebut akan dilanjutkan justeru berharap masyarakat dapat memahami dan mematuhi semua arahan SOP yang ditetapkan.

17 SJR diadakan di sempadan daerah seluruh Pahang manakala 15 SJR pula diadakan di sempadan negeri bermula 10 Mei lalu dengan enam SJR di dalam daerah Kuantan.